111 PROJEK BANDAR PINTAR JOHOR PACU PERKHIDMATAN LEBIH CEKAP

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, merasmikan Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2026 Vol. 1 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre, Pasir Gudang. | Foto FB Mohd Jafni Mohd Shukor
#IskandarPuteri – Sebanyak 111 projek dan program yang digariskan menerusi Pelan Induk Bandar Pintar Johor 2030 bakal mempercepat transformasi perkhidmatan bandar, sekali gus memudahkan urusan rakyat.
Agenda bandar pintar Johor memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi dan data terkini bagi menangani keperluan serta menyelesaikan permasalahan sebenar yang dihadapi rakyat, termasuk melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselamatan, memperkukuh pengurusan aduan dan menambah baik kecekapan penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Antara teknologi yang dimanfaatkan termasuk Lampu Isyarat Pintar, Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan Butang Kecemasan (Panic Button) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan trafik, aspek keselamatan serta tindak balas pantas terhadap sesuatu kejadian.
Beberapa PBT seperti Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) kini turut mempunyai Pusat Kawalan yang dilengkapi teknologi seperti CCTV AI, Butang Kecemasan dan Kamera Badan (Body Cam).
Pada masa sama, sistem pengurusan aduan turut diperkasakan bagi memastikan isu yang menyentuh kehidupan seharian rakyat seperti kerosakan jalan, saliran, lampu jalan, landskap, pengurusan sampah dan kebersihan awam dapat ditangani dengan lebih pantas serta tersusun.
Pendekatan berasaskan data turut membolehkan setiap PBT membuat keputusan dengan lebih cepat dan tepat, selain memastikan teknologi yang dilaksanakan memberikan impak serta manfaat yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Untuk rekod, kesemua 16 PBT di Negeri Johor kini telah mencapai penarafan Bandar Pintar, manakala MBJB telah mencapai Tahap 3 – Bandar Pintar Teraju, sekali gus menjadi asas kepada fasa seterusnya yang memberi tumpuan lebih besar terhadap impak, keberkesanan dan kelestarian penggunaan teknologi.
Sehubungan itu, penganjuran Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) terus menjadi platform untuk menghimpunkan kerajaan, PBT, pemain industri dan pihak berkepentingan bagi berkongsi idea serta membangunkan penyelesaian yang boleh diuji, dilaksanakan dan diperluaskan demi manfaat rakyat.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, merasmikan Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2026 Vol. 1 di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre, Pasir Gudang, hari ini.
#JohorSafeZone
#JohorSmartCityForum
#JSCF2026
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


