KERAJAAN JOHOR PERKUKUH LANGKAH HADAPI SITUASI JEREBU DI SEKOLAH

Kerajaan Johor akan terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara susulan keadaan berjerebu, dengan pihak sekolah turut diminta mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk memantau bacaan IPU dan menguruskan aktiviti luar mengikut keadaan semasa. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#BatuPahat – Kerajaan Johor akan terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan hal ehwal kesihatan dan keselamatan murid serta warga sekolah sentiasa terpelihara susulan situasi cuaca berjerebu yang berlaku ketika ini.
Berikutan itu, pihak sekolah juga dinasihatkan supaya mengikuti prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jerebu yang telah ditetapkan, termasuk pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa serta pengurusan aktiviti luar berdasarkan keadaan kualiti udara semasa.
Selain itu, sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk dan bacaan IPU melebihi 200, arahan penutupan sekolah juga akan dikeluarkan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) sebagai langkah untuk melindungi murid dan warga sekolah daripada pendedahan kepada udara tercemar.
Ibu bapa dan warga sekolah juga diseru agar mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya terhadap murid yang mengalami simptom seperti batuk, selesema, sakit tekak atau ketidakselesaan akibat jerebu, selain menggalakkan pemakaian pelitup muka bagi tujuan perlindungan tambahan.
Pemantauan berterusan terhadap bacaan IPU akan terus dilaksanakan bersama agensi berkaitan bagi memastikan sebarang perubahan keadaan dapat dikenal pasti dengan segera serta tindakan sewajarnya dapat diambil dengan pantas dan tepat.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir pada hari pertama pembukaan SMK Suria Jaya, Parit Yaani, hari ini.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#IPU
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



