222 PELAJAR MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN DI SMK SURIA JAYA

YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir pada hari pertama pembukaan SMK Suria Jaya, Parit Yaani. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#BatuPahat – Selepas melalui proses pembangunan panjang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya, Parit Yaani kini akhirnya mula beroperasi secara rasmi dengan seramai 222 pelajar dari tingkatan satu hingga tiga memulakan sesi persekolahan mereka, hari ini.
Pembukaan sekolah itu adalah hasil usaha berterusan Kerajaan Johor bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) serta agensi berkaitan dalam memastikan projek pendidikan yang telah lama dinantikan itu dapat diselesaikan dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Projek pembinaan SMK Suria Jaya ini telah dimulakan pada tahun 2013 dengan tarikh siap asal pada 24 Jun 2015. Bagaimanapun, projek berkenaan berdepan dengan pelbagai isu pelaksanaan dan kelewatan sehingga ia kemudiannya dikategorikan sebagai projek sakit, sebelum penyambungan semula kerja pemulihan pada tahun 2023 dengan kos keseluruhan mencecah RM45 juta.
Komitmen berterusan itu akhirnya membolehkan SMK Suria Jaya disiapkan dan mula digunakan pada tahun ini dengan fasa awal melibatkan sembilan daripada 30 bilik darjah dibuka berbanding kapasiti keseluruhan sehingga 900 pelajar apabila beroperasi sepenuhnya, kelak.
Pengoperasian sekolah yang diterajui YBhg. Tuan Haji Masrom Rahmat, Pengetua SMK Suria Jaya selain turut disokong 21 guru, lima anggota kumpulan pelaksana (AKP), enam petugas kebersihan dan empat petugas keselamatan, bagi memastikan persekitaran pembelajaran berada dalam keadaan selamat, bersih dan kondusif untuk warga sekolah.
Terdahulu, YB Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir pada hari pertama pembukaan SMK Suria Jaya, Parit Yaani, hari ini. Hadir sama ialah YB Datuk Muhammad Najib Samuri, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Parit Yaani.
#JohorSafeZone
#SMKSuriaJaya
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


