LAMPU ISYARAT PINTAR: KURANGKAN MASA PERJALANAN RAKYAT, LANCARKAN ALIRAN TRAFIK

Berikutan kejayaan itu, penggunaan sistem berkenaan bakal diperluaskan menerusi Fasa 2 yang akan melibatkan 21 lagi persimpangan di empat PBT, menjadikan keseluruhan 46 persimpangan, dengan Fasa 2 dirancang siap sepenuhnya pada suku keempat 2026. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Penggunaan Lampu Isyarat Pintar di beberapa lokasi di Johor berjaya mengurangkan tempoh perjalanan serta barisan kenderaan di beberapa koridor utama, sekali gus membantu melancarkan pergerakan trafik menerusi penggunaan teknologi dan data berdasarkan keadaan sebenar yang berlaku di jalan raya.
Di koridor Skudai–Pontian yang membabitkan laluan sepanjang enam kilometer (km) dan melibatkan enam persimpangan, tempoh perjalanan ketika waktu puncak pagi berkurang daripada 20 minit kepada 15 minit, manakala pada waktu puncak petang pula dapat dikurangkan daripada 22 minit kepada 17 minit atau dengan kata lain, kedua-dua tempoh waktu puncak itu berjaya mencatatkan pengurangan sebanyak 25 peratus dan 23 peratus.
Sementara itu, di Jalan Seelong, Kulai pula, masa perjalanan waktu puncak pagi berkurang daripada 18 minit kepada 14 minit, manakala waktu puncak petang daripada 23 minit kepada 16 minit, iaitu pengurangan sehingga 30 peratus, selain koridor berkenaan merekodkan volum keseluruhan sebanyak 19,825 kenderaan sejam pada waktu puncak petang.
Pengurangan tempoh perjalanan turut disokong dengan pengurangan barisan kenderaan di Simpang 273T, Jalan Seelong, apabila barisan dari arah Kulai berkurang daripada 650 meter kepada 300 meter, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai daripada 300 meter kepada 180 meter dan Seelong daripada 600 meter kepada 350 meter.
Sistem lampu isyarat pintar berkenaan turut menggunakan sensor, kamera litar tertutup (CCTV) berasaskan kecerdasan buatan (AI), pemasa serta alat kawalan bagi mengesan aliran dan jumlah kenderaan, selain membolehkan tempoh lampu isyarat diselaraskan mengikut keadaan trafik semasa serta koordinasi antara persimpangan.
Bagi Fasa 1, sebanyak 25 persimpangan di lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah siap sepenuhnya sehingga September 2026, melibatkan 11 persimpangan di Majlis Bandaraya Iskandar Puteri; Majlis Perbandaran Kulai (enam persimpangan); Majlis Bandaraya Johor Bahru (lima persimpangan); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (dua persimpangan) dan satu persimpangan di Majlis Perbandaran Kluang.
Berikutan kejayaan itu, penggunaan sistem berkenaan bakal diperluaskan menerusi Fasa 2 yang akan melibatkan 21 lagi persimpangan di empat PBT, menjadikan keseluruhan 46 persimpangan, dengan Fasa 2 dirancang siap sepenuhnya pada suku keempat 2026.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, memaklumkan penggunaan Lampu Isyarat Pintar Johor merupakan antara usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuh agenda Bandar Pintar menerusi teknologi dan data bagi melancarkan perjalanan, mengurangkan tempoh masa menunggu serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
#JohorSafeZone
#LampuIsyaratPintar
#BandarPintar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


