KERJASAMA MAINJ DAN PKPJ PERKUKUH KEBAJIKAN ASNAF MELALUI RUMAH TRANSIT
Oleh: Suhana Ariffin

YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan Majlis Kolaborasi Rumah Transit antara Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ). | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Kerajaan Johor menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) terus memperkukuh kebajikan masyarakat Islam di negeri ini khususnya golongan asnaf dengan menyediakan inisiatif Rumah Transit.
Inisiatif berkenaan merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu golongan asnaf mendapatkan akses kediaman sementara yang lebih selesa dan selamat, sekali gus meringankan beban kewangan serta membantu mereka membina semula kehidupan dengan lebih baik.
Setakat ini, MAINJ dengan kerjasama PKPJ telah menyediakan 14 rumah transit termasuk 4 unit di PPR Melana Indah Fasa 2 dan 10 unit di PPR Sungai Tiram dengan peruntukan sebanyak RM42,000 bagi menyediakan perlindungan sementara kepada asnaf yang kehilangan tempat tinggal.
Pada majlis sama, turut berlangsung Majlis Penyerahan Simbolik Bantuan Perumahan melibatkan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) berjumlah RM500,000, selain bantuan Rumah Transit sebanyak RM42,000.
Sementara itu, bantuan lain yang turut disalurkan ialah Bantuan Bina Baharu Rumah berjumlah RM100,000; Bantuan Baik Pulih Rumah (RM20,000) dan Bantuan Sewa Rumah (RM6,000).
Terdahulu, YB Tuan Haji Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor menyempurnakan Majlis Kolaborasi Rumah Transit antara Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) di Sunway Hotel Big Box, Iskandar Puteri.
#JohorSafeZone
#MAINJ
#PKPJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



