SEMUA INSTITUSI PENDIDIKAN JOHOR BEROPERASI SEMULA ISNIN INI

Kenyataan Media YB Dr. Muhammad Naqib Ghazali, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor serta kenyataan media YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor
#IskandarPuteri – Semua institusi pendidikan di seluruh Johor, termasuk di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), akan beroperasi semula mulai Isnin, 26 Oktober 2026, susulan trend penurunan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negeri sejak lima hari lalu.
Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor selepas mengambil kira perkembangan terkini situasi jerebu serta penilaian daripada agensi berkaitan.
Perubahan arah angin mulai 24 Oktober, peningkatan kelembapan dan jangkaan taburan hujan turut menjadi antara faktor yang dijangka membantu mengurangkan kesan jerebu di negeri ini.
Penilaian risiko kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor turut diambil kira bagi memastikan keselamatan murid, guru dan warga sekolah sentiasa terpelihara, selain memberi ruang kepada persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun serta peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan menyelaraskan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan di sekolah serta institusi pendidikan lain, termasuk pemakaian pelitup muka dan pemantauan aktiviti persekolahan berdasarkan bacaan IPU semasa serta garis panduan yang berkuat kuasa.
Bagi institusi pendidikan agama, arahan pembukaan semula turut melibatkan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) dan Sekolah Menengah Agama Negeri Johor, tertakluk kepada arahan Kerajaan Negeri dan JAINJ.
JAINJ akan menyelaraskan pemantauan pengoperasian sekolah agama di bawah seliaannya, manakala sebarang perubahan status pengoperasian akan dimaklumkan melalui saluran rasmi dari semasa ke semasa.
Kerajaan Negeri juga kekal komited memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah terus menjadi keutamaan, di samping menjamin kelangsungan pendidikan anak-anak Bangsa Johor.
#JohorSafeZone
#Jerebu
#PendidikanJohor
#PendidikanAgama
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


