RUMAH KASIH JOHOR REALISASIKAN IMPIAN MILIKI KEDIAMAN SENDIRI

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM22 juta dalam Belanjawan Johor 2025 bagi membina 165 unit rumah di bawah Program Rumah Kasih Johor Fasa 3, manakala Belanjawan Johor 2026 pula menyediakan RM83.7 juta untuk inisiatif yang sama, sekali gus dijangka memberi manfaat kepada 1,500 penerima. | Foto Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor
#IskandarPuteri – “Alhamdulillah, syukur sangat apabila akhirnya dapat memiliki rumah sendiri,” itu reaksi spontan Puan Zuliana Md Taha, penerima Rumah Kasih Johor, satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor bagi membantu rakyat mendapat kediaman yang lebih selamat dan selesa.
Bagi Zuliana, kediaman baharu di Batu 19, Ayer Hitam, Muar itu sememangnya amat memberikan kelegaan besar kepada keluarganya kerana kini mempunyai tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat untuk menjalani kehidupan seharian.
Menurutnya, peluang memiliki kediaman sendiri menerusi Rumah Kasih Johor merupakan satu rezeki besar yang bukan sahaja memberi keselesaan kepada keluarga, malah menjadi asas untuk membina kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.
Turut berkongsi rasa syukur ialah Encik Zahari Hamid dari Kampung Parit Haji Hashim, Kluang yang menyifatkan rumah baharu itu sebagai satu nikmat besar selepas melalui pelbagai rintangan dan cabaran untuk mendapatkan kediaman yang lebih sempurna.
Bagi Zahari, rumah yang diterima bukan sahaja menjadi tempat berteduh, sebaliknya rumah tersebut juga menjadi ruang untuk keluarganya menjalani kehidupan dalam suasana lebih selesa, selamat dan teratur.
Kisah Zuliana dan Zahari menggambarkan manfaat Rumah Kasih Johor kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang memerlukan sokongan untuk memiliki kediaman sendiri.
Pelaksanaan program ini disusun secara berfasa melibatkan pembinaan 50 unit pada tahun 2023, 120 unit pada 2024, 165 unit pada 2025 dan 365 unit pada 2026, menjadikan keseluruhan sasaran 700 unit dengan peruntukan kira-kira RM96.5 juta.
Kerajaan Johor menaikkan sasaran pembinaan daripada 500 kepada 700 unit sehingga 2026 bagi membuka lebih banyak peluang pemilikan rumah, selain menambah baik syarat kelayakan dengan meningkatkan paras garis kemiskinan per kapita kepada sekitar RM850 serta memberi kelonggaran berkaitan status tanah keluarga dengan keizinan pemilik.
Untuk rekod, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM22 juta dalam Belanjawan Johor 2025 bagi membina 165 unit rumah di bawah Program Rumah Kasih Johor Fasa 3, manakala Belanjawan Johor 2026 pula menyediakan RM83.7 juta untuk inisiatif yang sama, sekali gus dijangka memberi manfaat kepada 1,500 penerima.
#JohorSafeZone
#RumahKasihJohor
#BelanjawanJohor
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



