‘DAPUR ASNAF’ PENUHI KEPERLUAN ASNAF
ISKANDAR PUTERI — Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengambil inisiatif menganjurkan program ‘Dapur Asnaf’ bagi membela nasib golongan asnaf di negeri ini, bermula Jun tahun lalu.
Dapur Asnaf melibatkan pemberian sumbangan barangan keperluan dapur bernilai RM200 untuk membantu dan meringankan beban asnaf.
Penolong Pengarah Pengurusan Pungutan Zakat, Ustaz Shafie Mustafa berkata, pada tahun ini, MAINJ mengubah konsep program yang dilaksanakan secara mingguan pada setiap Ahad di semua daerah.
Menurutnya, konsep kali ini adalah dengan membawa setiap ketua keluarga asnaf atau pasangan, berbelanja mengikut keperluan di pasar raya.
“Perubahan konsep ini bertujuan memberi peluang kepada golongan asnaf untuk memilih barangan keperluan mereka sendiri dan tanpa ada had ditetapkan.
“Pemilihan pasar raya bagi program ini diberi keutamaan kepada milikan Muslim di setiap daerah. Setakat ini, RM200 untuk setiap keluarga masih mencukupi. Boleh dapat macam-macam. Kalau pilih barang tidak terlampau mahal, boleh penuh satu troli,” katanya.
Shafie berkata, sebanyak RM600,000 diperuntukkan bagi menjayakan Dapur Asnaf bagi tempoh Jun hingga Disember tahun lalu.
Manakala, ujarnya, telah diperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi program sama sepanjang tahun ini, yang melibatkan pemberian RM200 kepada 6,000 ketua keluarga asnaf.
Beliau memberitahu kebanyakan barangan dibelanjakan asnaf dalam bentuk keperluan dapur seperti ayam, ikan, minyak masak dan lain-lain.
“Konsep Dapur Asnaf pada bulan Ramadan pula adalah berbeza kerana ditambah jumlah sumbangan melibatkan pembelian baju raya pada dua minggu terakhir dengan peruntukan RM220,000 tahun ini,” katanya.
Selain itu, Shafie berkata, lebih RM14 juta diperuntukkan MAINJ bagi bantuan raya kepada 35,000 keluarga asnaf yang meliputi kira-kira 85,000 tanggungan.
“Bagi golongan fakir, MAINJ memberikan RM400 kepada setiap ketua keluarga sebagai duit raya diikuti golongan miskin sebanyak RM300 dan RM50 untuk setiap tanggungan. Alhamdulillah, setakat program bantuan ini dilaksanakan, MAINJ tidak lekang dengan usaha yang berterusan dalam membantu golongan asnaf di Johor,” katanya.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor