IIB, MDV JALIN KERJASAMA TINGKAT AKSES PEMBIAYAAN


Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Iskandar Investment Berhad (IIB), diwakili oleh Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif IIB dan Malaysia Debt Venture, diwakili oleh En. Nizam Mohamed Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif MDV. Pertukaran memorandum persefahaman disaksikan oleh En. Imran bin Abdullah, Setiausaha Bahagian Dana, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 

ISKANDAR PUTERI — Iskandar Investment Berhad (IIB) bersama Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), kelmarin.

 

MoU itu bagi menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan syarikat teknologi serta syarikat pemula di Johor terutama Medini, dengan menambah baik akses pembiayaan dan memupuk ekosistem inovasi yang berkembang maju di rantau ini.

 

Hadir menandatangani MoU berkenaan adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Nizam Mohamed Nadzri disaksikan oleh Setiausaha Bahagian Pembiayaan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Imran Abdullah.

 

Idzham berkata, MoU itu menyaksikan kedua-dua pihak berganding bahu memperkenal dan mempromosikan penyelesaian pembiayaan khusus MDV kepada rakan kongsi ekosistem IIB.

 

Menurutnya, kedua-dua pihak berharap dapat menarik dan mengekalkan bakat teknologi selain meningkatkan pembangunan ekonomi menerusi inisiatif menambah baik akses pembiayaian serta pemupukan perkongsian strategik.

 

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan MDV yang bertujuan menyediakan akses lebih baik kepada pembiayaan untuk syarikat teknologi dan syarikat ‘start-ups’ di Medini dan Johor.

 

“Dengan memanfaatkan kepakaran MDV dan penyelesaian pembiayaan khusus, kami yakin kami boleh memupuk ekosistem inovasi yang bertenaga dan menyokong pertumbuhan syarikat baharu di Johor khususnya Medini.

 

“Kerjasama ini membuktikan komitmen kami untuk memacu pembangunan ekonomi dan meningkatkan kedudukan Medini sebagai hab digital dan inovasi Johor,” katanya.

 

Sementara itu, Nizam berkata, pengalaman MDV lebih dua dekad memberi wawasan dan keupayaan untuk lebih memahami keperluan pembiayaan unik bagi syarikat teknologi dan baharu.

 

Ujarnya, MDV menyasarkan untuk memacu inovasi dan keusahawanan di rantau ini, malah percaya Johor merupakan pemacu pertumbuhan utama bagi sektor teknologi di Malaysia.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor