FARMBYTE KOMITED BANTU KUKUH SISTEM KETERJAMINAN MAKANAN DI JOHOR


Ketua Pegawai Eksekutif FarmByte, Syed Aiman Kifli Syed Jaafar berkata, kolaborasi kedua-dua syarikat juga berupaya menambah sumber makanan selain tenaga mahir di dalam sektor pertanian di Malaysia. | Foto MDJ, Wira Anggara.

 

ISKANDAR PUTERI — Jalinan kerjasama ditandatangani FarmByte Sdn. Bhd. bersama Archisen Pte. Ltd mampu mengukuhkan agenda keterjaminan makanan di negeri ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif FarmByte, Syed Aiman Kifli Syed Jaafar berkata, kolaborasi kedua-dua syarikat juga berupaya menambah sumber makanan selain tenaga mahir di dalam sektor pertanian di Malaysia.

 

“Kerjasama ini juga akan membantu para petani bukan sahaja dari segi pendedahan teknologi pertanian menegak, tetapi juga mengembangkan kaedah atau teknik baharu untuk bertani di Malaysia untuk mengukuhkan lagi sistem keterjaminan makanan kita.

 

“Menyedari dan melihat bagaimana Singapura begitu mahir di dalam pertanian moden, FarmByte yakin kerjasama dengan Archisen memberi ruang kepada kami untuk belajar menggunakan teknologi tinggi yang akan membantu kami meningkatkan keupayaan Johor di dalam mengusahakan pertanian menegak,” katanya ketika dihubungi Media Digital Johor.

 

Terdahulu, Media Digital Johor melaporkan FarmByte menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bersama Archisen bagi memperkasa sektor pertanian di Johor.

 

Syed Aiman Kifli berkata, rancangan pertanian menegak yang sedang diusahakan oleh FarmByte berupaya melahirkan lebih ramai petani moden selain mengembangkan lagi pengetahuan beradaptasi menggunakan teknologi baharu.

 

“Lokasi bagi tapak tanaman secara menegak ini adalah di Johor yang berpotensi menjadi hab bakul makanan di Malaysia. Kami bersama Archisen juga sedang mengenal pasti lokasi strategik bagi tanaman secara tertutup atau ‘indoor farming’.

 

“Kami juga akan bekerjasama rapat denan Archisen dengan menggunakan kepakaran mendalam kami tentang landskap agromakanan di Malaysia sebagai nilai tambah untuk memastikan rancangan ini berjaya,” tambahnya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor