ADCS 2025 LETAK JOHOR SEBAGAI GERBANG KANDUNGAN DIGITAL MALAYSIA-ASEAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian ADCS 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor bersama YB Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Digital. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Sidang Kemuncak Kandungan Digital ASEAN (ADCS) 2025 meletakkan Johor sebagai gerbang kandungan digital antara Malaysia dan ASEAN yang membuka pintu pelaburan dalam sektor digital disokong oleh infrastruktur moden serta inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Sidang kemuncak selama tiga hari itu merupakan platform penting bagi Johor selaku tuan rumah untuk memacu ekonomi seterusnya muncul sebagai hab digital dan kreatif selain kecerdasan buatan (AI) serantau dengan mencontohi Korea Selatan yang menjadikan industri tersebut bernilai USD113 bilion.

 

Melalui Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dan Iskandar Malaysia Studios, Johor tampil dengan kelebihan tersendiri membina ekosistem digital, mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi serta menjadi destinasi penggambaran filem bertaraf antarabangsa.

 

Kerajaan Negeri yakin dengan sokongan infrastruktur moden dan kepakaran tempatan mampu melahirkan generasi kreatif yang mengangkat keunikan Johor ke pentas global sekali gus mengambil peluang kerancakan ekonomi kreatif serta digital yang kini diiktiraf sebagai enjin pertumbuhan negara.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian ADCS 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini. Hadir sama, YB Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Digital serta YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor.

 

ADCS 2025 anjuran bersama Kerajaan Negeri dan Kementerian Digital di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 berlangsung dari 2 hingga 4 September ini, menghimpunkan lebih 50 pemikir global dan serantau, penyertaan lebih 100 pempamer serta pavilion lebih 10 negara.

 

#JohorSafeZone
#ADCS2025
#ASEANDigitalContentSummit2025
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor