AFIRUL BAWA SEMANGAT MAJU JOHOR


Afirul Idris Ayub Khan berjaya merangkul Pingat Emas Canselor dalam Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia.

 

#IskandarPuteri – Iltizam untuk menabur bakti kepada agama, bangsa, negeri dan negara tercinta serta keinginan membanggakan ibu bapa dan keluarga mendorong Afirul Idris Ayub Khan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya merangkul Pingat Emas Canselor semasa Upacara Konvokesyen ke-62 Universiti Sains Malaysia.

 

Anak jati Batu Pahat berusia 25 tahun yang telah mengharumkan nama negeri dan menjadi inspirasi kepada Orang Muda Johor itu akui memanfaatkan masanya sepanjang berada di institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan meraih ilmu dan kemahiran baharu bagi merealisasi hasrat menyumbang kepada pembangunan negeri mahupun negara.

 

Malah pemegang ijazah Sarjana Muda Sejarah dengan Pendidikan (Kepujian) itu berhasrat menceburi bidang pembangunan masyarakat bagi membantu golongan pelajar dan belia terlibat dengan inovasi sosial dan pendidikan yang mampu memberikan impak signifikan terhadap pembentukan generasi progresif serta produktif.

 

Afirul Idris ingin menggunakan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang telah diraih untuk berkhidmat sebagai seorang pensyarah atau tenaga pemikir selain menitipkan pesanan kepada belia di negeri ini khususnya golongan mahasiswa memaksimumkan masa sepanjang mengikuti pengajian di IPT masing-masing.

 

Mahasiswa anak Johor dinasihatkan untuk mendapatkan nilai tambah yang mampu meningkatkan kebolehpasaran apabila bergelar graduan seterusnya kembali berkhidmat kepada negeri dan negara sekali gus bersama membangunkan negeri serta menjadi insan yang dapat memberi manfaat kepada orang lain.

 

#OrangMudaJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor