AGENDA TRANSFORMASI TADBIR URUS JOHOR DIIKTIRAF

YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara hadir ke Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Projek RKB bersempena Program MADANI Rakyat 2025 Peringkat Negeri Johor di Toppen Shopping Centre, hari ini. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Dua agensi utama Kerajaan Johor menerima pengiktirafan atas kejayaan pelaksanaan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) selari Teras Pertama Tadbir Urus Kerajaan agenda Maju Johor untuk menambah baik sistem penyampaian kerajaan yang telus, cekap dan berintegriti kepada rakyat serta pelabur.

 

Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) menerima pengiktirafan atas komitmen memperkasa pemilikan rumah secara digitalisasi menyeluruh melalui sistem eRumah yang mengurangkan 17 kepada lima dokumen seterusnya menghapuskan keperluan cetakan dan penghantaran borang fizikal.

 

Inisiatif itu turut mengurangkan risiko kehilangan dokumen dan memudahkan proses kelulusan yang secara tidak langsung menarik lebih ramai pemohon terutama kategori B40 serta mambawa kepada anggaran penjimatan kos mencecah RM46 juta dalam tempoh tiga tahun.

 

Turut menerima pengiktirafan adalah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor melalui Projek Mempercepat Proses Serah Balik Kurnia Semula (SBKS) yang mengurangkan tempoh proses daripada 17 kepada hanya tiga bulan setengah seterusnya merekodkan penjimatan masa sebanyak 13 bulan bagi setiap permohonan.

 

Inisiatif berkenaan menyokong agenda pemodenan sistem perkhidmatan tanah Johor sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap kecekapan pentadbiran negeri apabila kira-kira 20 projek menerima manfaat secara langsung dengan potensi penjimatan kos pematuhan sekitar RM290 juta termasuk penjimatan faedah RM14.5 juta bagi setiap projek.

 

Terdahulu, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YBhg Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara hadir pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) bersempena Program Madani Rakyat Peringkat Negeri Johor di Toppen Shopping Centre, hari ini.

 

Hadir sama, YB Dato’ Asman Shah Abd. Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan); YB Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman, Ketua Eksekutif PKPJ dan YBrs. Puan Nurul Naqiah Fadzil, Timbalan Pengarah II (Pendaftaran) PTG Johor.

 

#TadbirUrusKerajaan
#PKPJ
#PTGJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor