ANAK MUDA JOHOR TERUS PELIHARA KESENIAN KHAT


Afiq Nabil Md Noh, 23, ketika mengikuti bengkel penulisan khat anjuran Yayasan Warisan johor (YWJ).

 

Berbekalkan bakat dan kemahiran dimiliki, seorang anak muda dari Johor nekad memelihara seni penulisan khat yang merupakan warisan seni Islam.

 

Anak jati Kluang, Afiq Nabil Md Noh, 23, akui mula berminat dan berkecimpung dalam penulisan khat sejak di bangku persekolahan.

 

Beliau yang kini menuntut di Universiti Al-Azhar Kaherah, Mesir, memberitahu penulisan seni khat memiliki keistimewaan tersendiri kerana keunikannya berbanding dengan kaligrafi lain.

 

“Masa sekolah rendah minat melukis kereta, lepas itu beralih melukis kartun. Minat khat bila masuk sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ) sebab ada subjek khat.

 

“Jadi bermula dari tingkatan satu di SMAKJ sudah berkecimpung dalam dunia seni khat,” katanya ketika dihubungi Media Digital Johor.

 

Melalui aktiviti penulisan khat, Afiq Nabil dapat memanfaatkan masa dengan menulis huruf dan ayat-ayat Al-Quran yang dilihat turut mempunyai nilai karya tersendiri dijadikan sebagai produk kaligrafi setanding karya lukisan.

 

Beliau memberitahu aktif mengikuti pertandingan terbuka dan pernah mewakili negeri Johor dalam beberapa siri pertandingan khat di peringkat Kebangsaan.

 

Antara pencapaian diraih, Johan Seni Khat Lelaki Majlis Ihtifal Ilmiah Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (MISSMAM) tahun 2015, 2016, 2017 dan 2018; Johan Lelaki Musabaqah Khat Merdeka 2021 anjuran Persatuan Penulis Khat Malaysia Mesir serta Johan Seni Khat Kategori Terbuka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka 2022.

 

“Adakalanya gaya tulisan susah untuk di kekalkan dan konsisten. Belajar pun perlu ambil masa yang lama untuk menguasai bentuk huruf dalam khat-khat tertentu.

 

“Ada kalanya datang malas untuk berlatih sedangkan latihan itu perlu pada setiap hari. Kadang-kadang pun mudah rasa berpuas hati dengan tulisan sendiri, sedangkan masih banyak yang perlu diperbaiki,” katanya.

 

Afiq Nabil memberitahu lebih meminati dan cenderung kepada penulisan khat Nasakh dan Thulus Adi yang disifatkan miliki keunikan tersendiri.

 

“Secara keseluruhan ada banyak jenis khat macam Riqa’ah, Diwani, Kufi dan yang lain. Tapi saya lebih cenderung pada khat Nasakh dan Thulus Adi sebab seninya unik dan seronok apabila ditulis,” katanya.

 

Ditanyakan mengenai harapan dalam pembudayaan seni khat masa kini, Afiq Nabil berkata, penulis atau penggiat seni khat perlu menjadikan niat untuk belajar sebagai keutamaan berbanding sebagai sumber pendapatan dan perniagaan sahaja.

 

“Usaha untuk berguru, bersemuka ataupun dalam talian, kalau susah juga boleh belajar khat di ‘YouTube’, cuma perlu berhati-hati dalam memilih saluran, supaya dapat ilmu yang betul dan sentiasa berusaha mencantikkan, memperbaiki kualiti tulisan walaupun sudah bertahun lama menulis,” katanya.

 

Beliau juga berkongsikan perancangan untuk menyelesaikan kursus bagi mendapatkan tauliah tenaga pengajar seni khat daripada Yayasan Warisan Johor (YWJ) sejurus tamat pengajiannya di Mesir.

 

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Seni Khat Johor, Zamri Amid berkata, pembudayaan seni khat di negeri Johor perlu mendapatkan sokongan daripada kerajaan, swasta, penggiat seni dan pemain industri.

 

Menurutnya, penglibatan pelbagai pihak akan membantu merancakkan lagi landskap seni warisan khat selain mampu menarik minat generasi muda khususnya di negeri ini.

 

“Bagi mengembangkan warisan seni khat bukan semata pada pendidikan seperti silibus atau kelas sahaja, tetapi perlu melalui perniagaan supaya lebih terdedah dan dikomersialkan.

 

“Melalui kaedah ini, orang luar boleh melihat sendiri hasil karya yang dibuat oleh penggiat seni khat ini dan perasaan minat itu akan timbul,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor