ANGKAT LIBERICA JOHOR KE PERSADA DUNIA


Kopi Liberica Johor yang diusahakan oleh pemilik Biostar Resources, Shamsul Bahri Ahmad. | Foto MDJ Nazreen Aimie

 

Pada awalnya kurang dikenali, namun kini telah mencuri perhatian berkat usaha gigih Shamsul Bahri Ahmad, 62, dalam memperkenalkan dan mengembangkan tanaman kopi jenis Liberica Johor yang diusahakan bersama beberapa pengusaha lain.

 

Pemilik Biostar Resources itu dengan isterinya, Fauziah Hassan, 57, turut bertekad mengangkat kopi jenis berkenaan ke persada global malah percaya keunikan rasa dan potensi tanaman tersebut mampu menawan pencinta kopi di seluruh dunia.

 

Shamsul Bahri mula menceburi penanaman kopi Liberica pada tahun 2018 dan telah mendapat bimbingan serta galakan daripada Pejabat Pertanian Daerah Batu Pahat yang mendorong untuk lebih serius terhadap usahanya itu.

 

Malah, beliau turut berjaya mengembangkan produk dengan menghasilkan beberapa inovasi baharu seperti sabun, sagun dan nasi lemak seterusnya membuka jalan untuk kopi Liberica Johor dikenali lebih meluas.

 

Shamsul Bahri percaya industri tanaman yang diceburinya itu mempunyai masa depan yang cerah malah telah mengambil langkah untuk mendaftarkan kopi Liberica Johor menerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

 

Selain itu, melalui usaha dilakukannya, beliau juga optimis jenama kopi Liberica Johor akan dikenali hingga ke peringkat antarabangsa malah menjadi warisan tempatan yang boleh dibanggakan oleh generasi akan datang.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor