ANUGERAH TOKOH MAAL HIJRAH SUNTIK SEMANGAT DAKWAH

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1447H/2025M. | Foto MDJ Wira Anggara
#JohorBahru – Penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Negeri Johor Tahun 1447H/2025M dinobatkan kepada Tuan Haji Anoar Sarimin, 63, bekas Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menjadi pengiktirafan besar terhadap sumbangan dalam bidang dakwah dan perkhidmatan awam.
Mula berkhidmat pada tahun 1992 sebagai guru di Maahad Johor selain memiliki pengalaman luas dalam JAINJ, beliau pernah menjawat beberapa jawatan penting sepanjang perkhidmatan antaranya Kadi Besar Negeri Johor, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAINJ dan Timbalan Pengarah Operasi JAINJ sebelum bersara pada tahun 2022.
Antara pencapaian utama menjadi detik bersejarah dalam kerjayanya adalah menyelaras Sambutan 100 Tahun Pendidikan Agama Islam Negeri Johor pada tahun 2018 selain turut memainkan peranan penting menjayakan Majlis Musabaqah Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 yang dianjurkan di Johor.
Meskipun telah bersara, bapa kepada empat cahaya mata itu terus menabur bakti menyumbang pengalaman dan ilmu dalam hal ehwal hukum serta syariah sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor di Jabatan Mufti Johor dan masih kekal aktif dalam medan dakwah bersama masyarakat.
Dilahirkan di Kampung Parit Kassan, Tangkak, Anoar membuktikan bahawa iltizam dan kesungguhan dalam perjuangan dakwahnya kepada masyarakat menjadi simbol penghargaan kepada seluruh barisan agamawan yang gigih membimbing umat sehingga ke hari ini.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor Tahun 1447H/2025M di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.
Hadir sama, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YB Dato’ Haji Mohammed Ridha Dato’ Abd. Kadir, Pegawai Kewangan Negeri Johor; SS YB Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor serta YBhg. Tuan Nasri Md. Ali, Pengarah JAINJ.
#WTN
#MSMH1447H
#TokohMaalHijrahJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor