APCW 2023 CERMINAN KOMITMEN JOHOR MENDEPANI PERUBAHAN IKLIM


Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han memaklumkan Persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor pada 13 hingga 17 November ini.

 

Persidangan Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) 2023 di Johor pada 13 hingga 17 November ini, menjadi platform utama Kerajaan Negeri menimba ilmu dan pengalaman daripada negara lain serta menyerlahkan usaha dalam mendepani isu perubahan iklim.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han memaklumkan APCW 2023 merupakan wadah kepada pihak kerajaan, golongan profesional dan pakar di dalam industri bekerjasama serta bertukar pandangan selain menarik pelaburan khususnya sektor teknologi hijau ke negeri ini.

 

Pusat Kelestarian Johor juga bakal dilancarkan bagi memperkasa usaha penghijauan di negeri ini, diikuti Pelan Induk Pembangunan Hijau yang menggariskan usaha memelihara biodiversiti, sosial dan ekonomi di samping pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan pemain industri.

 

Pelan Induk Pembangunan Hijau dirangka dengan ditunjangi lima teras utama antaranya sektor tenaga boleh diperbaharui; pengangkutan dan mobiliti; bandar rendah karbon; tanah, alam sekitar dan sumber asli serta teknologi dan industri baharu yang dapat membantu penggunaan sumber lebih cekap.

 

APCW 2023 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor selama lima hari itu dijangka menarik lebih 2,000 delegasi dari 70 buah negara selain lebih 100 pempamer dan 200 acara bakal mewarnai penganjuran persidangan bertaraf antarabangsa yang julung kali dianjurkan di Malaysia terutama Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor