BAHAGIA CARA KAMPUNG TENGAH


Maadon Rasidan selaku Ketua Kampung Tengah menunjukkan tanaman hidroponik dan fertigasi sayur pak choi. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Suasana lengang serta lokasi terletak di pinggir bandar Kluang membolehkan masyarakat di Kampung Tengah menjalani rutin harian dengan tenang dan selesa tanpa perlu menempuh kesesakan selain dilengkapi dengan kemudahan asas disediakan.

 

Sejak dibuka pada tahun 1925, Kampung Tengah kini memiliki seramai 3,983 penduduk terdiri daripada 747 keluarga dengan kebanyakan mereka bekerja dalam sektor kerajaan, swasta, atau bekerja sendiri mengusahakan tanaman kontan.

 

Menyifatkan Kampung Tengah sebagai perkampungan serba lengkap, Maadon Rasidan, 64 selaku ketua kampung bersyukur pelbagai kemudahan telah disediakan di sekitar kampung terutama bagi sektor pendidikan meliputi tiga Sekolah Kebangsaan, dua Sekolah Menengah Kebangsaan dan dua Sekolah Agama Kerajaan Johor.

 

Perkampungan yang terletak di antara Kampung Paya dan Kampung Baru itu juga dilengkapi dengan dewan serbaguna yang menyediakan gelanggang badminton serta sepak takraw, sebuah masjid yang mampu menampung 800 jemaah serta Klinik Bergerak Waqaf An-Nur bagi manfaat penduduk.

 

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di bawah teraju Maadon juga bergiat aktif menghulurkan bantuan berbentuk bakul makanan bernilai RM200 kepada kira-kira 100 asnaf bagi setiap empat bulan sekali dengan kerjasama pengurusan Masjid Jamek Kampung Tengah.

 

Para asnaf turut dibantu oleh JPKK dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta pelbagai agensi berkaitan untuk mengusahakan tanaman hidroponik dan fertigasi sayur pak choi, terung dan kailan dengan hasil tanaman dijual kepada penduduk kampung.

 

Selain itu, beberapa infrastruktur kampung berkenaan juga sedang dipertingkatkan seperti menaik taraf Jalan Perhubungan Desa (JPD) dengan peruntukkan sebanyak RM200,000 serta kerja-kerja penyelenggaraan parit bagi meminimakan impak banjir melanda sesetengah penduduk di Kampung Tengah Dalam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor