BANDAR KLUANG ANTARA 10 BANDAR BAHAGIA DI MALAYSIA


Berikut adalah Indeks Kebahagiaan Negeri Johor yang direkod PBT bagi tahun 2022. Sumber foto: Facebook PLANMalaysia.

 

ISKANDAR PUTERI — Bandar Kluang dinobatkan sebagai 10 Bandar Bahagia Tahun 2022 sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2022 yang diadakan di Putrajaya, semalam.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M Noor Azman Taib, berkata pengiktirafan itu berdasarkan Kajian Indeks Kebahagiaan yang membabitkan 42,000 responden membabitkan 117 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan dan Sabah.

 

Katanya, ia dilaksanakan bagi meraikan Hari Kebahagiaan Sedunia yang disambut pada setiap 20 Mac bagi mengiktiraf hubung kait antara keseimbangan pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar ke arah kebahagiaan serta kesejahteraan penduduk.

 

“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada 92 bandar atau 79 peratus daripada jumlah keseluruhan yang mencapai status mampan dengan skor melebihi 80 peratus dan 25 bandar (21 peratus) yang mencatat skor sederhana (antara 50 hingga 79 peratus),” katanya dalam kenyataan di laman sosial Facebook Rasmi Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), hari ini.

 

Bandar Kluang terpilih sebagai 10 Bandar Bahagia Tahun 2022 apabila mencatat skor sebanyak 99.93 peratus dalam Kajian Indeks Kebahagiaan yang dilaksanakan oleh KPKT, sekali gus memperbaiki indeks berkenaan bagi Bandar Kluang yang mencapai skor sebanyak 86.29 peratus pada 2021.

 

Sembilan lagi bandar yang turut menerima pengiktirafan sama ialah Bandar Alor Gajah, Melaka; Bandar Gua Musang (Kelantan); Bandar Klang (Selangor); Bandar Kuala Krai (Kelantan); Bandar Kuala Pilah (Negeri Sembilan); Bandaraya Kuantan (Pahang); Bandar Manjung (Perak); Bandaraya Petaling Jaya (Selangor) dan Bandar Rompin (Pahang).

 

Indeks Kebahagiaan bagi Negeri Johor turut mencatat rekod 100 peratus apabila mencapai status mampan berikutan kesemua PBT di Johor mencatatkan skor pada tahap melebihi 80 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnnya.

 

Indeks Kebahagiaan Johor mencatatkan Majlis Perbandaran Kluang mencatatkan skor tertinggi dengan 99.93 peratus diikuti Majlis Perbandaran Pengerang (96.91 peratus); Majlis Perbandaran Pontian (96.30 peratus); Majlis Daerah Mersing (94.45 peratus) dan Majlis Perbandaran Muar dengan 91.64 peratus.

 

Skor yang tinggi turut dicatatkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri pada catatan 87.83 peratus; Majlis Perbandaran Kulai (87.43 peratus); Majlis Perbandaran Segamat (86.19 peratus) dan Majlis Daerah Simpang Renggam dengan 86.00 peratus.

 

Pencapaian memberangsangkan turut dicatat oleh Majlis Daerah Yong Peng dengan skor 84.94 peratus; Majlis Perbandaran Batu Pahat (83.85 peratus); Majlis Daerah Labis (83.64); Majlis Daerah Tangkak (83.63 peratus); Majlis Bandaraya Johor Bahru (83.55 peratus); Majlis Daerah Kota Tinggi (81.30 peratus) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang dengan 80.00 peratus.

 

Indeks kebahagiaan berkenaan turut mendedahkan empat kriteria paling bahagia di Johor membabitkan Keluarga dengan 89.8 peratus; Kesihatan (87.8 peratus); Kejiranan (87.8 peratus) dan Kemudahan sebanyak 87.3 peratus.

 

Selain itu, indeks sama turut memaklumkan empat kriteria yang boleh ditingkatkan di Johor ialah membabitkan aspek kewangan, pemimpin tempatan, perkhidmatan swasta dan pekerjaan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor