BANGKITNYA SEORANG PATRIOT

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. | Foto HRH Crown Prince of Johor
Oleh – Badrul Kamal Zakaria
Editor Kanan Media Digital Johor
‘Hidup dan matiku demi Johor’. Mungkin slogan popular ini mudah untuk diungkapkan oleh sesiapa atau dimana-mana jua namun untuk membuktikan sejauh mana kasih sayang mereka kepada negeri Johor Darul Ta’zim mungkin tidak dapat menandingi apa yang ada dalam sosok diri insan bernama DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Sejak dilantik sebagai Tunku Mahkota Johor kira-kira 15 tahun lalu dan kini bergelar Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail boleh dikatakan telah memberikan hampir segala-galanya kepada Negeri Johor dan rakyatnya.
Walaupun Baginda Tunku boleh sahaja memilih kehidupan serba kemewahan yang lazimnya dilalui oleh kebanyakan ‘anak raja’ di seantereo dunia, namun DYAM Tunku Mahkota Ismail yang terkenal dengan sifat merendah diri lebih memilih jalan untuk ‘menikmati’ waktu susah senang, suka duka bersama rakyat kerana apa yang paling utama dalam jiwa Baginda Tunku ialah kesejahteraan rakyat.
Bermula dengan usaha mengembalikan semula zaman kegemilangan Johor dalam sukan bola sepak yang kini sudah direalisasikan dengan kejayaan pasukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mendominasi arena Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut, kini DYAM Tunku Mahkota Ismail turut memainkan peranan penting dalam agenda untuk menjadikan Johor sebuah negeri maju dan makmur.
DYAM Tunku Mahkota Ismail sesekali tidak pernah berpeluk tubuh, sebaliknya turut memainkan peranan sebagai seorang ‘diplomat’ penting dengan turut mengadakan beberapa pertemuan dengan pelabur asing dengan harapan ia akan dapat membawa pulangan yang dapat memberi kesejahteraan kepada Bangsa Johor secara keseluruhan.
Hasil gandingan erat Baginda Tunku dan Kerajaan Negeri, Johor kini telah berjaya menerima pelaburan yang mencecah puluhan bilion ringgit sejak beberapa tahun lalu yang bukan sahaja merancakkan ekonomi tetapi membolehkan rakyat menerima peluang pekerjaan yang lebih luas dengan tangga gaji yang lumayan berbanding sebelumya.
Tidak cukup dengan itu, DYAM Tunku Mahkota Ismail turut merintis kepada beberapa pembaharuan penting seperti Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ), usaha membasmi miskin tegar, inisiatif untuk menjadikan Johor sebagai kuasa sukan di Malaysia dan lain-lain menunjukkan wawasan Baginda Tunku yang sentiasa jauh ke hadapan dalam memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat secara keseluruhan.
Selain daripada memberi fokus kepada pencapaian kemakmuran ekonomi, DYAM Tunku Mahkota Ismail turut mengambil berat mengenai soal keselamatan negeri dan rakyatnya.
Ini dapat dibuktikan apabila Baginda Tunku tanpa sebarang rasa kekok telah berangkat menyertai latihan kententeraan ‘Thunderstorm’ yang dilaksanakan bersama Askar Timbalan Setia Negeri Johor (ATSN), Gerup Gerak Khas (GGK) dan Bridged Ketujuh Infrantri Malaysia (7 Briged) di Mersing, baru-baru ini.
Latihan yang diikuti oleh Bangsa Johor menerusi laman media sosial perbadi Baginda Tunku itu jelas menjadi satu fenomena dalam kalangan rakyat apabila ia menampilkan bagaimana DYAM Tunku Mahkota Ismail dengan penuh keterampilan serta karisma beraksi sebagai seorang anggota ‘SEAL Elitte’ yang cekap dan terlatih.
Dalam rakaman video latihan berkenaan, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah menunjukkan ‘sisi lain baginda’ sebagai seorang askar terlatih, lebih-lebih lagi dengan kredibiliti Baginda Tunku sebagai lulusan Akademi Tentera India di Dehradun, selain beberapa siri latihan ketenteraan lain sama di dalam atau luar negara.
Beberapa adegan kejayaan menangani situasi mencemaskan dalam klip video latihan berkenaan telah melonjakkan lagi status DYAM Tunku Mahkota Ismail selaku Pegawai Pemerintah ATSN, apatah lagi latihan ekstrem berkenaan dilaksanakan dengan penglibatan Panglima Tentera, Pegawai Kanan Tentera serta pasukan anggota tentera bertaraf komando.
Dari sudut lain, aksi Baginda Tunku yang sanggup ‘terendam sama basah, terampai sama kering’ bersama-sama pasukan tentera menjadi satu lagi bukti emperikal penting bahawa soal keselamatan Bangsa Johor sentiasa menjadi keutamaan DYAM Tunku Mahkota Ismail dan ia tidak sesekali akan berkompromi dengannya.
Sebagai seorang yang ‘versatile’, DYAM Tunku Mahkota Ismail bukan sahaja boleh dianggap sebagai negarawan, tetapi juga seorang patriot yang ‘hidup matinya demi Johor’.