BANGSA JOHOR MESTI JAGA JOHOR


Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat ke Johor Youth Meetup by Orang Muda Johor di Stadium Educity, Iskandar Puteri.

 

Ketika Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor bertitah Negeri Johor bukan milik Malaysia, sebaliknya merupakan ‘rakan’ dalam sesi podcast baru-baru ini, ramai yang dilihat berasa kurang senang sehingga mengaitkan dengan cabaran sistem federalisme pada masa kini. Namun, dengan menelusuri sejarah Johor Moden berdekad lamanya, ramai juga yang melihat titah Baginda dari sudut pandang yang lebih luas dan positif seterusnya meraikan dinamika demokrasi tanah air demi kepentingan Negeri Johor dan rakyatnya.

 

Apa jua reaksi yang telah dizahirkan, ada asasnya terhadap tuntutan Pemangku Sultan Johor meskipun terdapat pihak beranggapan ia sebagai bertentangan dengan semangat persekutuan. Begitu juga dengan saranan Baginda mengenai Gabungan Bangsa Johor yang dilihat tepat pada masanya. Benar, ahli-ahli politik Johor yang diberikan mandat daripada rakyat ketika pilihan raya harus memainkan peranan masing-masing mengangkat dan membawa suara Bangsa Johor dengan memperjuang hak dan kepentingan negeri di peringkat persekutuan secara konsisten.

 

Ke arah merealisasikan Johor sebagai sebuah negeri maju menjelang tahun 2030, sudah semestinya Bangsa Johor inginkan kemajuan dan pembangunan yang pesat berlaku di negeri ini. Hal yang sama turut diinginkan oleh setiap rakyat di negeri masing-masing. Maju itu bukan sekadar hebat dengan kewujudan bangunan pencakar langit, tetapi juga memiliki sistem pendidikan, infrastruktur dan prasarana asas yang baik serta rakyat yang mempunyai minda kelas pertama. Bagaimanapun, dengan melihat kepada keadaan semasa, adakah Negeri Johor sudah bersedia untuk ke arah mencapai status tersebut?

 

Sehingga kini, masih dapat kita lihat isu-isu legasi yang menuntut perhatian sepenuhnya daripada Kerajaan Persekutuan seperti kepadatan hospital awam, fasiliti kesihatan yang usang dan uzur perlu dinaik taraf, jalan raya berlubang dan lebuh raya dua lorong kedua-dua arah yang akan sesak terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah. Atas sebab itu, Pemangku Sultan Johor mahu Kerajaan Persekutuan untuk mula melayani Negeri Johor sebagai ‘rakan’ bukannya berstatus ‘dimiliki’. Persoalan buat Bangsa Johor, mahukah kita untuk melihat semua isu-isu legasi ini diberikan diselesaikan dengan sewajarnya?

 

Masih ingatkah insiden kebakaran wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada tahun 2016 diikuti dengan kebakaran wad perubatan perempuan ketika 2020? DYAM Tunku Mahkota Ismail sejak tahun 2018 lantang menyuarakan situasi hospital dan fasiliti kesihatan di Negeri Johor selain menggesa tindakan segera diambil bagi membaik pulih wad ICU HSA yang terbakar. Malah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sendiri berkenan membiayai kos baik pulih wad perubatan perempuan HSA yang terbakar. Begitulah keprihatinan Keluarga DiRaja Johor.

 

Selain itu, disebabkan kelantangan Pemangku Sultan Johor selama enam tahun, kini pembinaan Hospital Pasir Gudang dilaporkan telah mencapai tahap kemajuan lebih 80 peratus dan bakal beroperasi sepenuhnya pada April tahun hadapan sekali gus mampu mengatasi isu kesesakan di HSA dan Hospital Sultan Ismail (HSI). Namun, bagaimana pula dengan aspek-aspek lain melibatkan rakyat seperti transformasi sistem pendidikan negara serta kemudahan asas yang lain? Oleh itu, hanya Bangsa Johor sahaja yang boleh menentukan dan menjaga kepentingan negeri sendiri.

 

Penyatuan ahli-ahli politik Sarawak yang mengangkat suara anak Sarawak yang jitu di peringkat Persekutuan perlu dicontohi. Kemahuan politik yang tinggi membentuk sebuah gabungan sehingga muncul sebagai kuasa yang kuat, Sarawak berjaya memperjuangkan hak, autonomi serta kepentingan negeri tanpa pernah sedikit pun menggugat semangat federalisme. Situasi sama juga dilihat perlu berlaku di Johor kerana negeri ini perlu ‘presentable’ terutama menjelang pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) di Forest City serta ke arah negeri maju 2030.

 

Penubuhan Gabungan Bangsa Johor seperti kenyataan Majlis Belia Negeri Johor amat signifikan untuk memiliki suara yang kuat dalam memperjuangkan hak dan kepentingan negeri kerana akan menarik perhatian yang lebih Kerajaan Persekutuan kepada Johor pada masa hadapan. Malah YBhg. Khairy Jamaluddin yang juga Penasihat Belia Johor juga mahu Kerajaan Persekutuan memberi perhatian yang serius kepada titah Pemangku Sultan Johor seterusnya mesti tidak memusatkan segala kuasa dan wang di Putrajaya, sebaliknya lebih adil mengagih kepada negeri termasuk Johor atas semangat federalisme.

 

Bangsa Johor tidak seharusnya menjadi mangsa sikap acuh tidak acuh sistem federalisme dan Negeri Johor tidak perlu mengemis bagi mendapatkan bantuan. Sebaliknya, Negeri Johor perlu dilayani dengan sewajarnya dan ahli-ahli politik Johor serta rakyat perlu bersama memperjuangkan hak dan kepentingan negeri terhadap Kerajaan Persekutuan seperti yang dilakukan oleh DYAM Pemangku Sultan Johor demi merealisasikan agenda Maju Johor 2030 dan mencipta masa depan Johor yang gemilang. Pergeseran politik tidak menguntungkan Negeri Johor perlu diketepikan.

 

Sampai bilakah Negeri Johor perlu untuk meminta-minta dan mengemis bagi mendapatkan peruntukan pembangunan seolah-olah telah dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan meskipun merupakan penyumbang utama ekonomi negara dan pernah merekodkan pelaburan tertinggi di Malaysia?. Sekiranya perhatian tidak diberikan dengan sewajarnya, sedikit sebanyak ia mampu merencatkan usaha menarik pelaburan ke Negeri johor apatah lagi menghadirkan limpahan manfaat untuk dinikmati oleh rakyat seperti peluang pekerjaan, pertumbuhan sosioekonomi dan kemudahan asas yang baik.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor