BANTUAN KASIH JOHOR BUKTI KERAJAAN NEGERI ‘KONGSI REZEKI’

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyantuni seorang petani yang menerima Bantuan Kasih Johor dalam program yang berlangsung di Kampung Baru, Simpang Renggam, Sabtu lalu. | Foto MDJ Imran Razib
#Kluang – Komuniti pertanian khususnya kumpulan pekebun kecil bersyukur kerana ‘keberadaan’ mereka sentiasa dilihat dan dibantu oleh Kerajaan Negeri termasuk pemberian Bantuan Kasih Johor sebanyak RM200 secara ‘one-off’, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 22,000 penerima daripada kelompok berkenaan.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam ‘berkongsi rezeki’ daripada hasil limpahan kemakmuran ekonomi kepada rakyat yang secara tidak langsung menggambarkan keprihatinan pentadbiran negeri ini dalam membantu meringankan beban kos sara hidup terutama dalam kalangan pekebun kecil.
Bagi Sulaiman Wasiman, 61, pekebun yang menanam pokok pisang tanduk di Kampung Parit Basri, Simpang Renggam, bantuan diterima amat bermakna kerana membuktikan Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan pekebun kecil yang menjadi tulang belakang sektor pertanian Johor. Bantuan tersebut akan digunakan sebaik-baiknya untuk membeli barangan keperluan harian keluarganya.
Manakala Farhan Sulaiman, 33, yang mengusahakan tanaman sayur pucuk manis dan pucuk meranti, memberitahu bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak telah membantu menampung kos pembelian baja serta beberapa keperluan kebun lain bagi memastikan hasil tanaman keluaran kebunnya kekal berkualiti.
YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 telah mengumumkan 42 inisiatif tambahan membabitkan peruntukan sebanyak RM209 juta dengan 25 daripada inisiatif itu disasarkan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat yang melibatkan golongan petani, penternak, nelayan, ibu tunggal, warga emas meliputi seramai 1.9 juta Bangsa Johor sebagai penerima manfaat.
#JohorSafeZone
#BantuanKasihJohor
#PetaniJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor