BANTUAN KASIH JOHOR RINGAN BEBAN PELBAGAI LAPISAN MASYARAKAT DUN MACHAP

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Machap menyantuni salah seorang penerima Bantuan Kasih Johor di Dewan Kampung Baru Machap, Simpang Renggam. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#Kluang – Seramai 929 penerima terdiri daripada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pesara polis, pegawai masjid dan surau, guru al-Quran dan takmir, ketua blok FELDA serta sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap menikmati manfaat Inisiatif Bantuan Kasih Johor, hari ini.

 

Bagi Mohamad Karim Razali, veteran ATM, menyifatkan bantuan bernilai RM400 yang meringankan beban kewangan itu jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan bekas anggota keselamatan dan melambangkan kepimpinan Johor sentiasa berusaha membangunkan negeri lebih makmur serta mensejahterakan rakyat.

 

Sementara itu, Rosli Hashim, Imam Masjid Kampung Seri Maju Jaya pula menzahirkan kesyukuran atas bantuan RM1,000 disalurkan secara berperingkat yang menunjukkan kepedulian Kerajaan Negeri terhadap kebajikan pegawai masjid dan surau serta mengiktiraf peranan mereka memakmurkan rumah ibadah selain mendoakan agar negeri ini terus aman dan diberkati.

 

Manakala Mohd Rasidi Ismail, Ketua Peneroka FELDA Ayer Hitam berharap bantuan RM400 seorang kepada lebih 2,000 warga peneroka seluruh negeri yang disifatkan sebagai komitmen Kerajaan Negeri mengagihkan limpahan ekonomi secara saksama, dapat dilaksanakan secara berterusan untuk memastikan kesejahteraan warga peneroka terus terpelihara.

 

Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM170 juta dalam Belanjawan Johor 2026 untuk inisiatif Bantuan Kasih Johor melibatkan lebih 330,000 penerima daripada pelbagai latar belakang di seluruh negeri yang menjadi cerminan kasih sayang dan selaras dengan komitmen memulangkan kembali hasil negeri kepada rakyat melalui pelbagai manfaat.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor merangkap Ahli Dewan Negeri Johor Kawasan Machap hadir menyempurnakan penyerahan Bantuan Kasih Johor di Dewan Kampung Baru Machap, Simpang Renggam, hari ini.

 

Turut hadir, YB Dato’ Ir. Hasni Mohammad, Ahli Parlimen Simpang Renggam; YBhg. Puan Hajah Azurawati Wahid, Pegawai Daerah Kluang; YBhg. Encik Mohd Fahmy Yahya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang; dan YBhg. Encik Mohd Izzul Helmi Ahmad, Yang Dipertua Majlis Daerah Simpang Renggam.

 

#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BantuanKasihJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor