BANTUAN TIKET PENERBANGAN UNTUK MAHASISWA ANAK JOHOR DI SABAH DAN SARAWAK

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2026 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor menzahirkan keprihatinan terhadap kebajikan anak muda negeri ini dengan memperkenalkan inisiatif Bantuan Tiket Penerbangan Bagi Mahasiswa Anak Johor di Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan Johor 2026.
Inisiatif khas ini akan memberi manfaat secara langsung kepada mahasiswa yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Kepulauan Borneo itu bagi membantu mereka pulang ke negeri tercinta terutama menjelang musim perayaan.
Selain bantuan tiket penerbangan, Kerajaan Negeri turut menyediakan inisiatif bas percuma kepada mahasiswa yang kini sedang menuntut di IPTA di Semenanjung Malaysia bagi memastikan pelajar dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat dan selesa tanpa terbeban dengan kos perjalanan yang tinggi.
Melalui peruntukan berjumlah RM1.4 juta menerusi Teras 3: Orang Muda Johor, usaha ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan pelajar, tetapi juga mencerminkan kasih dan perhatian Kerajaan Negeri terhadap anak Johor yang menimba ilmu jauh di perantauan.
Secara keseluruhan inisiatif ini merupakan sebahagian daripada agenda Orang Muda Johor di bawah Belanjawan Johor 2026 yang memperuntukkan lebih RM55 juta bagi melaksanakan 10 inisiatif pendidikan tinggi utama, sekali gus memberi manfaat kepada mahasiswa di negeri ini.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2026 bertemakan ‘Bangsa Johor Sejahtera’ pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


