BATU PAHAT DAN KULAI JUARA KESELURUHAN KARNIVAL BAHASA INGGERIS JOHOR 2025

Majlis Penutup Karnival Bahasa Inggeris Peringkat Negeri Johor 2025. | Foto Yayasan Johor Corporation

 

#IskandarPuteri – Daerah Batu Pahat dan Kulai dinobatkan sebagai juara keseluruhan Karnival Bahasa Inggeris Peringkat Negeri Johor 2025 bagi kategori sekolah rendah dan menengah anjuran bersama Yayasan Johor Corporation (JCorp) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

 

Karnival yang berlangsung pada 3 hingga 4 September 2025 di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu mempertandingkan enam acara utama iaitu Pengucapan Awam, Deklamasi Sajak, ‘Storytelling’, ‘Dare to Spell’, ‘Scrabble’ dan Dokumentari Mini.

 

Dengan seramai 250 peserta berjaya mara ke peringkat negeri, mencerminkan keberkesanan penganjuran karnival berkenaan dan komitmen berterusan Yayasan JCorp dan JPNJ dalam melahirkan pelajar-pelajar Johor yang fasih berbahasa Inggeris, berkeyakinan tinggi dan mempunyai daya saing global.

 

Kejayaan ini juga secara tidak langsung turut menyerlahkan bakat pelajar Johor, sekali gus memberi kelebihan kepada negeri ini apabila Johor dipilih sebagai tuan rumah bagi acara Karnival Semarak Perpaduan Bahasa Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 yang akan berlangsung di Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Oktober depan, apabila bakal menampilkan pasukan terbaik untuk bersaing di peringkat kebangsaan.

 

Selain itu, pelaksanaan pertandingan ‘Choral Speaking’ dan pembangunan modul Bahasa Inggeris Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dilaksanakan bersama projek tuisyen di sekolah bandar serta luar bandar turut menjadi sebahagian daripada inisiatif utama di bawah Teras Pendidikan Yayasan JCorp.

 

Terdahulu, YBhg. Tuan Haji Mohd Hanafi Samad, Pengarah JPNJ bersama YBrs Puan Wan Su Ali, Pengurus Besar Yayasan JCorp hadir ke Majlis Penutup Karnival Bahasa Inggeris Peringkat Negeri Johor 2025, baru-baru ini.

 

#JohorSafeZone
#BuliBukanBudayaJohor
#JohorTetapJohor
#PendidikanJohorMendahului
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor