BATU PAHAT MENUJU BANDAR PINTAR, RENDAH KARBON 2030
#BatuPahat – Penganjuran Hari Bebas Kenderaan yang mendapat sambutan masyarakat menterjemahkan komitmen berterusan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) memacu agenda pembangunan bandar pintar serta memupuk gaya hidup sihat.
Program tersebut menjadi sebahagian daripada pelan strategik MPBP ke arah mencapai tahap kedua pengiktirafan Bandar Pintar melalui kerangka pembangunan rendah karbon bagi mentransformasi Batu Pahat sebagai Bandar Pintar dan Rendah Karbon menjelang tahun 2030.
Selain itu, inisiatif berkenaan secara tidak langsung turut membawa manfaat besar kepada kesihatan masyarakat terutama dalam mencegah penyakit kardiovaskular, darah tinggi serta diabetes yang berpunca daripada amalan gaya hidup dan pemakanan tidak sihat.
Berjaya menarik lebih 500 peserta terdiri pelbagai lapisan usia dan latar belakang beriadah di sekitar Dataran Penggaram dalam suasana menyokong agenda bebas karbon, program dianjurkan turut mendapat kerjasama daripada Southern Volunteers (SV) daerah Batu Pahat.
Terdahulu, YB Dato’ On Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia, Sukarelawan) hadir menyempurnakan upacara pelepasan bagi acara SV Fun Run sempena Hari Bebas Kenderaan di Jalan Rahmat, Batu Pahat, hari ini.
Hadir sama, YBhg. Encik Ezahar Abu Sairin, Yang Dipertua MPBP; YBhg. Encik Abdul Razak Ithnain, Setiausaha MPBP serta YBhg. Encik Mohamad Zainul Ariffin Azhar, Penolong Pegawai Daerah (Khidmat Pengurusan) Pejabat Daerah Batu Pahat.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor