BEKALAN AIR PULIH, SYAWAL PENUH BERMAKNA


Penduduk sekitar Gugusan Murni Jaya dan FELDA Bukit Permai gembira dengan tindakan proaktif Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak belasan tahun lalu. | Foto Mohd Jafni Md Shukor

 

#IskandarPuteri – Lebih 1,000 penduduk di sekitar Gugusan Murni Jaya dan FELDA Bukit Permai, Kulai berasa lega dan menzahirkan rasa syukur apabila masalah gangguan bekalan air yang berlarutan sejak belasan tahun akhirnya dapat diselesaikan hasil tindakan proaktif daripada Kerajaan Johor.

 

Bagi Solihin Baein, 47, penduduk Kampung Sri Muar memuji langkah responsif Kerajaan Negeri serta usaha berterusan bagi memastikan bekalan air dapat dinikmati oleh semua penduduk di sekitar kawasan ini seperti Kampung Agas, Kampung Sungai Sayong 1 dan 2, Kampung Sri Sempurna, Kampung Sungai Siam dan Kampung Sungai Besoi, terutama ketika musim perayaan.

 

Usaha berkenaan secara tidak langsung turut memberi kemudahan kepada penduduk untuk membuat persiapan raya dengan lebih sempurna pada sambutan Aidilfitri kali ini tanpa perlu berasa bimbang terhadap isu bekalan air, sebagaimana yang sering berlaku sebelum ini.

 

Sementara itu, Zainal Erok, 53, dari Kampung Sri Sempurna juga memuji tindakan pantas Kerajaan Negeri yang memastikan semua agensi berkaitan utiliti bekalan air dapat bekerjasama dalam menyelesaikan isu yang sering berlaku setiap tahun terutama ketika musim perayaan.

 

Aidilfitri kali ini juga dapat diraikan dengan penuh meriah tetapi sederhana bersama ahli keluarga dan sanak saudara berikutan tidak perlu lagi berdepan dengan masalah tekanan air rendah sehingga menjejaskan suasana kemeriahan Syawal.

 

Kerajaan Negeri menerusi Ranhill SAJ Sdn. Bhd (Ranhill SAJ) telah memperuntukkan sejumlah RM8.2 juta bagi menyelesaikan isu bekalan air di Gugusan Murni Jaya dan FELDA Bukit Permai dengan melaksanakan lima inisiatif termasuk penggantian paip utama bagi memastikan bekalan air lebih stabil di kawasan Bukit Permai, Renggam dan Layang-Layang.

 

#BekalanAir
#IndahnyaSyawal
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor