BELIA PASIR GUDANG KINI MILIKI TMIYC

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan menyempurnakan perasmian TMIYC Pasir Gudang. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#PasirGudang – Apa barang yang dikata, Itulah yang dikota. Itulah bait peribahasa yang tepat untuk menggambarkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Johor dalam membina masa depan golongan belia di negeri ini apabila Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Pasir Gudang kini menjadi fasiliti ketiga siap dibina selepas kemudahan sama di Johor Bahru dan Muar.

 

Keberangkatan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menyempurnakan perasmian TMIYC Pasir Gudang dengan disaksikan lebih 22,000 pengunjung mencerminkan betapa inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Johor ini amat dekat di hati rakyat, khususnya golongan muda di Pasir Gudang.

 

Dengan kos pembinaan mencecah RM33.727 juta, TMIYC Pasir Gudang yang dibangunkan di kawasan seluas 12 ekar ini merangkumi dua zon utama iaitu Dataran Mahkota dan TMIYC yang dilengkapi dengan pelbagai fasiliti seperti Bangunan Dewan Utama, Amphiteater, Padel Court, Wall Climbing, padang memanah, Caravan Park, kawasan trak makanan serta pelbagai ruang aktiviti yang direka khusus untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, disamping aspek lain berkaitan keterlibatan sosial dalam kalangan belia.

 

Bagi memastikan pengurusan dan penyelenggaraan setiap TMIYC berjalan lancar, Kerajaan Johor turut menubuhkan TMIYC Activation Taskforce yang berperanan untuk menyelaras pelaksanaan dari segi pengurusan fasiliti, komuniti, strategi media dan polisi.

 

Selain itu, inisiatif pelantikan Duta Sukan Johor yang turut dicetuskan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail sebelum ini turut menjadi satu langkah dalam memberi inspirasi kepada golongan belia melalui penglibatan ikon sukan bertaraf antarabangsa, selain mengambil semangat kejayaan pasukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai contoh teldan terbaik.

 

Justeru dengan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan ini, Anak Muda Johor diseru agar merebut pelbagai peluang yang disediakan oleh Kerajaan Johor seperti peluang pekerjaan yang ditawarkan hasil daripada kemakmuran ekonomi khususnya di kawasan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang giat digerakkan oleh Kerajaan Negeri.

 

Turut hadir ialah YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Mohd Hairi Md Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor serta barisan kepimpinan Negeri Johor.

 

#WTN
#TMIYC
#TMIYCPasirGudang
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor