‘CARA JOHOR’ MEMBINA JOHOR

Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. | Foto JOHOR Southern Tigers
Oleh Badrul Kamal Zakaria
Editor Kanan Media Digital Johor
Ekonomi, pendidikan, infrastruktur dan penjagaan kesihatan. Itu antara titah yang menjadi kata kunci yang sering dilontarkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sama ada pada majlis rasmi, perjumpaan bersama pemimpin atau ketika berhubung langsung ‘secara maya’ dengan rakyat jelata menerusi akaun rasmi Baginda di pelbagai platform media sosial terkini.
Titah peringatan yang disuarakan jauh lubuk sanubari hati Baginda ini bukan hanya perlu ditafsir secara mendalam oleh pimpinan di peringkat negeri sahaja, tetapi ia juga wajar dijadikan ‘azimat’ penting dan perlu disematkan dalam setiap diri individu Bangsa Johor.
Untuk memajukan sebuah negara bangsa bernama Johor Darul Ta’zim ini, ia bukan hanya tugas individu secara solo atau duo atau trio atau quadro… sebaliknya ia memerlukan gandingan mantap daripada segenap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang terkecuali, atas gagasan yang telah lama diungkapkan iaitu Bangsa Johor.
Untuk menjadi sebuah negeri yang maju dan berpendapatan tinggi bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan kesepaduan dalam setiap tingkah laku rakyatnya terutama dalam memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan setiap inisiatif yang telah diusahakan oleh pihak Kerajaan Negeri.
Penulis secara peribadi turut ‘tabik spring’ kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail kerana bukan sahaja menjadi individu ‘pertama’ yang mengotakan apa yang dikata tetapi juga turut menunjukkan contoh terbaik yang ‘amat-amat’ wajar diikuti oleh semua Bangsa Johor.
Dengan aura yang dimiliki atau ‘berkat daulat’ yang ada pada diri Baginda, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail sendiri turut bersama-sama memainkan peranan dalam mencari pelabur asing untuk bertanam modal di negeri ini.
Buktinya dapat dilihat apabila setiap kali Baginda berangkat ke luar negara pasti akan ada ‘oleh-oleh’ dari luar yang pastinya akan mampu memberi manfaat kepada Bangsa Johor. Keberangkatan Baginda ke Qatar pada Disember tahun lalu bukan hanya sekadar memenuhi undangan hormat diplomasi diRaja semata-mata tetapi juga turut membawa pulangan pelaburan yang lumayan.
Kunjungan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail ke Qatar ini secara tidak langsung telah membuka ‘peti harta karun’ apabila beberapa syarikat yang berpangkalan di negara beriklim padang pasir dan kaya dengan hasil minyak itu menyatakan komitmen awal untuk melakukan pelaburan di Johor khususnya di kawasan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Antara yang bakal memberi komitmen pelaburan jitu ialah Qatar Investment Authority (QIA), Power International Holding dan Qatar Airways. Minat yang ditunjukkan oleh syarikat gergasi bertaraf antarabangsa dari Qatar ini turut menjadi seperti ‘magnet rezeki’ kepada Johor apabila lebih ramai syarikat asing dari seluruh dunia mula membuka mata mencari ruang dan peluang untuk meneroka potensi ekonomi yang ada pada negeri yang terletak di penghujung tanah besar Benua Asia ini.
Hasilnya kini kian dirasai bukan sahaja oleh Kerajaan Negeri tetapi juga rakyat di negeri ini. Beberapa syarikat multinasional asing sudah memulakan operasi di negeri ini dilihat sudah menyediakan tangga gaji yang lebih premium dan lumayan yang secara tidak langsung akan dapat meningkatkan taraf sosio ekonomi yang lebih baik.
Bagi tujuan itu, aspirasi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail dalam menjayakan inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) dilihat tepat pada masanya. Dalam dunia globalisasi tanpa sempadan ini, disiplin ilmu STEM iaitu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik perlu menjadi antara teras utama dalam sistem pendidikan. Bidang TVET yang membabitkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional kini menjadi antara cabang ilmu yang semakin penting.
Adunan antara STEM dan TVET diyakini mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan profesional, sekali gus membolehkan Anak Muda Johor ‘mendonia’ dengan menawan pasaran kerja bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga di seluruh dunia.
Justeru dengan tertubuhnya SRBJ pada tahun ini, ia secara tidak langsung memberi cetusan semangat untuk menyaksikan anjakan paradigma dalam sistem pendidikan yang lebih sistematik, berdaya saing, terkini dan memenuhi apa yang diperlukan dalam ‘putaran dunia’ masa kini yang sentiasa bergerak pantas.
Menerusi kemakmuran ekonomi dan sistem pendidikan yang efisyen, sudah pasti ia akan membawa kepada penyediaan prasarana yang lebih baik, berkualiti dan dinamik. Kemudahan infrastruktur yang dinamik ini sudah pasti akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat secara keseluruhan.
Malah keupayaan menyediakan infrastruktur terbaik akan dapat ‘memancing’ minat pihak luar bukan sahaja berinvestasi di negeri ini tetapi melonjakkan sektor ekonomi lain seperti pelancongan, industri hiliran, perusahaan kecil dan sederhana serta pelbagai bisnes lain yang akan menguntungkan Bangsa Johor.
Amanat Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail yang sering memandang serius tentang soal penjagaan kesihatan wajar diberi perhatian yang serius oleh semua pihak. Kesihatan juga menjadi elemen penting bagi sesebuah negara kerana pelbagai peluang dapat diterokai apabila rakyatnya hidup aman, sihat dan aktif.
Justeru soal penjagaan kesihatan tidak boleh dipandang ‘sebelah mata’ oleh semua pihak kerana ia adalah tonggak kepada kemajuan negeri. Justeru, usaha untuk memajukan sektor penjagaan kesihatan ini perlu mendapat sokongan semua pihak tanpa sebarang kompromi.
Justeru, untuk menjayakan cita-cita menjadikan Johor sebuah negara maju menjelang 2030, kita perlu perteguhkan kembali tali permuafakatan. Tidak kira siapa pun anda, apa jua latar belakang anda… Anda adalah Bangsa Johor.
Ini adalah cara kita di Johor. Cara bagaimana kita memajukan Johor. Ayuh kita bersama-sama berdiri teguh di belakang Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail untuk membangunkan Johor. Cara Johor untuk membina Johor!
Kepada Allah Kita Berserah…
#BangsaJohor
#LetThemWatchTheNew
#WTN
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor