‘COMEBACK’ ZOO JOHOR BERJAYA REKODKAN KEHADIRAN PENGUNJUNG TERTINGGI


20,000 pengunjung yang membanjiri Zoo Johor yang secara rasminya dibuka pada umum, semalam. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Hampir 20,000 pengunjung dari setiap pelosok daerah Negeri Johor, seluruh negara dan juga negara jiran telah membanjiri Zoo Johor yang secara rasminya dibuka kepada umum, pada Sabtu sekali gus memadam rekod pengunjung tertinggi sebelum ini.

 

Pernah menerima kehadiran tertinggi kira-kira 5,000 pengunjung sehari terutama pada bulan Disember, destinasi pelancongan mesra keluarga yang kembali dengan wajah baharu itu sememangnya telah berjaya menarik minat para pelancong terutamanya golongan berkeluarga.

 

Selepas lebih tiga tahun ditutup bagi kerja-kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur, pembukaan semula Zoo Johor telah menerima pelbagai reaksi positif daripada agensi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab memastikan kelancaran pembukaan semula zoo tersebut.

 

Mohd Hafiz Aliman, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Johor.

Bagi Mohd Hafiz Aliman, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Johor, kerja menaik taraf fasa satu Zoo Johor telah melibatkan bahagian pintu masuk zoo yang lebih moden dan ceria bagi menjadi daya tarikan para pelancong.

 

“Apa yang paling penting, beza kita (Zoo Johor) dengan zoo lain adalah haiwan-haiwan di zoo ini merupakan koleksi milik Keluarga DiRaja Johor. Jadi, semestinya ‘value’ ataupun nilai yang ada di sini tidak akan sama seperti zoo lain”, katanya ketika ditemu bual Media Digital Johor.

 

Kerja menaik taraf fasa dua dijadualkan pada hujung tahun ini lebih berfokus bagi mencantikkan kawasan kurungan haiwan, parkir kenderaan pengunjung, kawasan ruang pejabat, pusat kuarantin dan menukar pagar kawasan Zoo Johor.

 

 

 

Sementara itu, Salwa Abd. Rashid, Pengarah Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) memberitahu pihaknya bertanggungjawab menjaga keindahan landskap zoo termasuklah menyediakan pokok renek atau ‘flowerplant’ di kawasan kurungan haiwan.

 

“Kami di MBIP sendiri pun ada rasa tanggungjawab menjadikan Zoo Johor lebih ‘friendly’ yang boleh buatkan kita boleh berdiri sama tinggi dengan zoo-zoo lain”, jelasnya.

 

Ahmad Bukhari A. Rahim, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Operasi The Johor Collection.

The Johor Collection (TJC) selaku pengeluar utama cenderamata koleksi zoo menerusi Ahmad Bukhari A. Rahim, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Operasi TJC menjelaskan pihaknya telah menyediakan pelbagai koleksi cenderamata eksklusif sempena pembukaan semula Zoo Johor.

 

 

“Kita hasilkan produk eksklusif iaitu seni ‘doodle’, karya Wan Jepah. Koleksi barangan Zoo Johor hanya boleh didapatkan di sini bagi memberi elemen nostalgia dan kenangan kepada pengunjung apabila mereka keluar dari Zoo Johor, mereka ada sesuatu untuk dikenang”, tambahnya.

 

Selain itu, produk ditawarkan kepada para pengunjung juga mengetengahkan konsep dan identiti kebanggaan Bangsa Johor sekali gus meletakkan standard yang tersendiri pada koleksi cenderamata dihasilkan buat orang ramai.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor