CUTI PERISTIWA TANDA PENGHARGAAN KEPADA PENYOKONG JDT

Kenyataan media YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri mengisytiharkan Isnin, 15 Disember 2025 sebagai Hari Cuti Khas Peristiwa bagi seluruh rakyat negeri ini, susulan kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Piala FA 2025/2026, trofi kali keempat berturut-turut.

 

Pengisytiharan cuti khas ini oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor selepas mendapat perkenan DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk meraikan kejayaan gemilang skuad Harimau Selatan.

 

YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dalam satu kenyataan turut memaklumkan cuti khas selaras dengan Seksyen 9, Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) itu juga sebagai tanda penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan rakyat Johor atas sokongan berterusan kepada JDT.

 

Kejayaan skuad Harimau Selatan yang dibimbing oleh Xisco Munoz merangkul kejuaraan Piala FA kelima keseluruhan dengan penuh gemilang ini disifatkan sebagai hasil komitmen, disiplin, dan semangat juang tinggi seluruh pasukan Harimau Selatan sepanjang musim ini.

 

Bagaimanapun, peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang sedang berlangsung sejak 25 November hingga 23 Disember melibatkan 413,372 calon dan 127,526 petugas, tetap dilaksanakan pada 15 Disember seperti dijadualkan.

 

Terdahulu, JDT selaku juara bertahan berjaya menewaskan Sabah FC dalam perlawanan akhir Piala FA 2025-2026 dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, sekali gus menjadi pasukan pertama merangkul trofi Piala FA empat kali berturut-turut.

 

#JDTvSabah
#PialaFA2025-26
#DemiLigaKita
#LigaMalaysia
#TheTMJeffect
#WhatCanYouDo
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor