DARI HATI NEGERI KE JANTUNG NEGARA

YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor ke-24 dilantik sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara berkuat kuasa 1 Julai lalu. | Foto MDJ Wira Anggara

 

 

Oleh Imran Razib
Pegawai Penerangan Media Digital Johor

 

 

1. Setinggi-tinggi tahniah kepada YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor ke-24 atas pelantikan sebagai Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara berkuat kuasa 1 Julai lalu, selepas mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

 

2. Dilahirkan di Segamat pada 16 April 1966 dan dibesarkan di Felda Sungai Sayong, YB Tan Sri Dato’ Dr Azmi membuktikan bahawa kejayaan lahir daripada tekad dan iltizam yang kuat. Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1992 dan telah menjawat pelbagai jawatan penting sebelum dilantik sebagai YB Setiausaha Kerajaan Johor pada 2017.

 

3. Sebagai pentadbir, beliau terkenal dengan pendekatan “bekerja dari hati dengan penuh hati-hati”, menekankan integriti, kecekapan dan transformasi perkhidmatan awam. Sepanjang kepimpinannya, Johor telah menyaksikan pelbagai inisiatif penting termasuk menaik taraf pihak berkuasa tempatan, penubuhan Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor serta pembentukan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ).

 

4. YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi juga merupakan pemimpin yang sentiasa berpandangan jauh dalam memacu jentera Kerajaan Negeri. Dalam ketegasannya memberikan teguran, pastinya akan disulami dengan nasihat dan pedoman yang menterjemahkan sisi kasih ‘seorang bapa kepada anak-anaknya’.

 

5. Saban tahun, beliau sentiasa memberikan penekanan kepada usaha mentransformasikan perkhidmatan awam bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti antaranya ialah meningkatkan sistem penyampaian, melahir dan menguruskan bakat baharu dan menekankan soal integriti dalam kalangan penjawat awam.

 

6. Kesemua yang dilakukan ini merupakan kesinambungan daripada legasi Setiausaha Kerajaan Negeri terdahulu yang mempunyai sejarah tersendiri dalam era pemodenan Negeri Johor. YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi telah memainkan peranan penting sebagai ‘jambatan’ atau penghubung antara Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS) dan perkhidmatan awam negeri dengan DYMM Sultan Johor.

 

7. Sumbangan beliau juga terserlah dalam mempercepatkan projek strategik seperti Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang serta pembabitan aktif dalam syarikat berkaitan Kerajaan Negeri. Di samping itu, beliau turut memegang peranan sebagai Pro-Canselor di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

 

8. Dengan pengalamannya yang luas dalam perkhidmatan awam dan kecemerlangan kepimpinan, beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan dalam kerjayanya dengan kurniaan Pingat dan Darjah Kebesaran. Antaranya ialah Pingat Ibrahim Sultan, Pangkat Kedua; Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga, Setia Mahkota Johor.

 

9. Selain itu, beliau turut menerima Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor; Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama, Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor serta Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia, Panglima Setia Mahkota yang membawa gelaran Tan Sri.

 

10. Justeru, pelantikan YB Tan Sri Dato’ Dr Hj Azmi ke Istana Negara bukan sahaja mengiktiraf kepimpinan dan pengalaman luasnya, malah menjadi kebanggaan seluruh Bangsa Johor. Sumbangan beliau akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah kemajuan Johor moden.

 

11. Semoga Allah SWT memberkati perjalanan tugasan baharu beliau dan terus mengurniakan kesihatan serta kebijaksanaan dalam menyumbang kepada negara.

 

Terima kasih YB Tan Sri. Johor berbangga denganmu.

 

#SUKJ
#SetiausahaKerajaanJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor