DESARU COAST TERUS MENJADI DESTINASI PERANGINAN UNGGUL

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Mandarin Oriental dan Desaru Coast. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#KotaTinggi – Desaru Coast kini terus memperkukuhkan usaha dalam merancakkan lagi sektor pelancongan Johor dengan melantik Mandarin Oriental sebagai pengendali baharu bagi resort ikonik persisiran pantai di Desaru Coast ke arah pengurusan profesional dan antarabangsa.
Terletak dalam kawasan tumpuan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor – Singapura (JS-SEZ), resort ini berpotensi besar untuk menarik pelabur berprofil tinggi, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Johor sebagai hab pelancongan bertaraf dunia, selain sebagai persediaan menyambut Tahun Melawat Johor 2026.
Bagi menolak spekulasi negatif sesetengah pihak, salah satu tempat peranginan di kawasan Desaru Coast ini tidak pernah sesekali menghentikan operasi, sebaliknya ia kini sedang melalui proses penjenamaan semula termasuk proses pertukaran pengurusan bagi memperkukuhkan daya saing serta menarik lebih ramai pengunjung premium dari dalam dan luar negara.
Selain itu, bagi memperluas impak pembangunan pelancongan, Desaru Coast juga turut menjalin kerjasama dengan ONE°15 Marina dari Singapura bagi memperkenalkan kemudahan marina premium di Terminal Feri Desaru Coast yang dijangka bakal beroperasi pada September ini, sekali gus berupaya menjadi pintu masuk baharu bagi komuniti pelayaran antarabangsa.
Pusat Kecemerlangan Hospitaliti juga akan ditubuhkan sebagai inisiatif Desaru Coast dalam memperkukuh bidang pelancongan dan hospitaliti. Usaha ini akan melibatkan kerjasama daripada Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) bagi memastikan industri pelancongan negeri terus berkembang dengan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran global.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Mandarin Oriental dan Desaru Coast.
Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Mohamed Nasri Sallehuddin, Pengerusi Desaru Coast dan Encik Laurent Kleitman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mandarin Oriental Hotel Group di Desaru Coast, Johor, hari ini.
#WTN
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor