DEWAN NEGERI LULUSKAN BELANJAWAN JOHOR 2026

Dewan Negeri Johor hari ini meluluskan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.546 bilion. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Dewan Negeri Johor, hari ini meluluskan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.546 bilion yang telah dibentangkan pada 13 November lalu yang turut menyaksikan tiga hari sesi perbahasan dan diikuti sesi penggulungan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor selama dua hari, sepanjang tempoh Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.
Bertemakan ‘Bangsa Johor Sejahtera’, Belanjawan Johor 2026 yang juga belanjawan keempat yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor itu merangkumi 260 inisiatif yang berpegang kepada enam teras utama agenda Maju Johor iaitu Tadbir Urus Kerajaan, Pembangunan Ekonomi, Jaringan Keselamatan Sosial, Kemudahan dan Keperluan Asas, Keselamatan, Kebersihan dan Kelestarian Alam Sekitar serta Orang Muda Johor.
Bagi Belanjawan Johor 2026 kali ini, hasil negeri yang diunjurkan adalah sebanyak RM2.55 bilion, manakala unjuran untuk tujuan perbelanjaan berjumlah RM2.546 bilion, sekali gus menjadikan belanjawan ini sebagai Belanjawan Surplus sebanyak RM4.457 juta.
Selain itu, prestasi pelaburan negeri ini turut mengalami lonjakan besar apabila Johor merekodkan nilai tertinggi dalam negara iaitu RM91.1 bilion dan dijangka mampu melepasi jangkaan RM102 bilion pelaburan menjelang penghujung tahun ini.
Inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dilihat menjadi antara pencetus kepada pelbagai kejayaan yang dicapai oleh Johor termasuk pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara, rekod hasil negeri tertinggi dalam sejarah, pencapaian jualan pertanian tertinggi di Malaysia serta pengiktirafan sebagai negeri terawal yang berstatus ‘negeri pintar’ di negara ini.
Sementara itu, Kerajaan Negeri juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras bagi memastikan setiap agenda pembangunan yang dirancang sebelum ini, akhirnya dapat direalisasikan dengan cemerlang.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


