DIPLOMASI AGONG KUKUH HUBUNGAN NEGARA LUAR


KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima mengadap Dato’ Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura dan isteri Datin Paduka Ho Ching pada 6 Mei 2024 lepas. | Foto Istana Negara

 

Pemerintahan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sejak dimasyhurkan pada 31 Januari yang lalu, telah membawa suatu dimensi baharu kepada Malaysia terutama melibatkan hubungan antarabangsa.

 

Umum mengetahui Seri Paduka Baginda telah menjalin hubungan diplomatik yang signifikan dan mempunyai persahabatan yang erat bersama pemimpin dunia sepertimana kebijaksanaan serta legasi diwarisi daripada Sultan-Sultan Johor Moden terdahulu.

 

Asbab daripada hubungan baik Kesultanan Johor Moden dengan negara luar telah menjadikan pertumbuhan pembangunan dan ekonomi negeri terus makmur serta bertambah pesat sehingga pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor bermula tahun 2010.

 

Maka tidak hairanlah pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara mampu meletakkan Malaysia sebagai nama besar di persada global sekali gus meningkatkan keyakinan negara luar memperkukuhkan hubungan bilateral yang membawa limpahan manfaat.

 

Lawatan negara pertama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Singapura pada Mei lalu, telah menterjemahkan jalinan persahabatan cukup akrab bersama Kerajaan Singapura yang mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Singapura.

 

Bagi Prof Dr. Azmi Hassan, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Nusantara menyifatkan lawatan tersebut membawa naratif baharu hubungan langsung kedua-dua negara apatah lagi Singapura merupakan rakan dagang utama kepada Malaysia.

 

Begitu juga hubungan diplomatik bersama negara lain, Seri Paduka Baginda sudah pasti akan sentiasa menasihati Perdana Menteri berkaitan dasar luar negara dan kepentingan memupuk hubungan yang baik menerusi sesi terima mengadap yang berlangsung.

 

Ketegasan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang tidak akan berselindung dalam menzahirkan titah mengenai sesuatu isu termasuk dasar luar negara mencerminkan sebuah pemerintahan yang bitara dan penuh kebijaksanaan.

 

Sebagai contoh, Seri Paduka Baginda tidak menunggu lama apabila bertitah menggesa Malaysia mendesak gencatan senjata di Gaza susulan konflik Palestin-Israel menerusi titah perasmian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada Februari lalu.

 

Bagi menyerlahkan kepentingan Institusi Yang di-Pertuan Agong, Azmi tidak menolak cadangan supaya Seri Paduka Baginda mewakili negara ke persidangan di peringkat antarabangsa yang berskala besar berikutan pengaruh serta kewibawaan kepemimpinan yang dimiliki.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor