DURIAN JOHOR ‘MENDUNIA’


Durian Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah


Industri tanaman durian di Johor semakin mencatatkan trend positif terutama membabitkan jumlah pengusaha tanaman, keluasan serta pengeluaran raja buah itu setakat Julai ini, sekali gus mendominasi pasaran dalam dan luar negara.

 

Malah, sejumlah RM3.14 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2023 dan 2024 bagi usaha meningkatkan produktiviti ladang durian yang berkeluasan 853.61 hektar dab melibatkan lebih 390 usahawantani seluruh Negeri Johor. Selain itu, dana sama turut digunakan untuk membekalkan mekanisasi dan peralatan bagi menjamin kualiti durian Johor dapat dikekalkan serta seterusnya menepati kehendak pasaran.

 

Negeri Johor yang mempunyai keluasan tanah 15,804.91 hektar bagi tanaman itu telah mencatatkan pengeluaran sebanyak 20,284 tan pada musim kedua buah durian yang baharu bermula pada penghujung Jun lalu dan ia dijangka akan terus meningkat sehingga September depan.

 

Keyakinan tersebut dizahirkan oleh YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor yang turut mahu Johor menjadi pengeluar hasil durian secara besar-besaran dalam tempoh tiga tahun terutama inisiatif penubuhan pusat pengumpulan hasil yang dijangka beroperasi pada 2025.

 

Selain itu, penghasilan durian dari Negeri Johor turut menerima permintaan tinggi dari negara luar seperti China, Australia, Indonesia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Kanada apabila sejumlah 464,794 kilogram telah dieksport ke negara berkenaan, sekali gus membawa pulangan lebih RM26.3 juta kepada ekonomi negeri pada tahun ini.

 

Kerajaan Johor juga sedang bergerak dalam usaha mempelbagaikan produk berasaskan durian di pasaran antaranya ialah durian sejuk beku, isi durian sejuk, kriogenik sejuk, durian segar, sediaan kering serta isi dan pes sejuk beku bagi menambah variasi hasil buah itu yang secara tidak langsung dapat memenuhi permintaan penggemar raja buah itu dari luar negara.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor