DYAM RAJA MUDA JOHOR PENYAMBUNG LEGASI JDT
Setiap zaman ada warisannya dan setiap generasi pasti akan ada pemimpinnya. Itu isyarat jelas yang ingin disampaikan oleh pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang memberi bayangan putera sulung Baginda akan menyambung legasi yang hebat ini.
Tanggapan ini berdasarkan kepada pengamatan apabila DYAM Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail, Raja Muda Johor telah berkenan berangkat merasmikan pembukaan kedai cenderahati rasmi, JDT Direct Megastore di Stadium Sultan Ibrahim semalam.
Terpahat dalam sejarah lebih 10 dekad transformasi JDT dan juga Negeri Johor sendiri apabila program ini secara tidak langsung menjadi upacara rasmi pertama yang dihadiri sendiri oleh DYAM Raja Muda Johor yang baharu sahaja berusia 7 tahun.
Lebih memberangsangkan, selain upacara pembukaan rasmi JDT Direct Megastore, DYAM Raja Muda Johor bersama ayahanda Baginda, turut meluangkan masa hadir ke JDT Fans Fest 2024 di lokasi sama sekali gus meraikan dan memberikan penghargaan terhadap sokongan dan dokongan peminat JDT selama ini.
JDT Fans Fest 2024 tampil dengan kelainan tahun ini apabila membawa persembahan gusti profesional (APAC Wrestling) ke perkarangan Stadium Sultan Ibrahim, selain acara wajib yang paling ditunggu peminat iaitu ‘Meet n Greet’ bersama pemain bintang JDT.
Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan bagi memeriahkan JDT Fans Fest 2024 demi menghargai semua penyokong JDT.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor