EKSPO HARTANAH JOHOR 2023 DAPAT SAMBUTAN BAIK


Muhammad Yazid, 26, memberitahu kos Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) ini sangat berpatutan dengan ekonomi semasa khususnya kepada warga Johor tanpa mengira lapisan umur. | Foto MDJ Saufi Razale.

 

JOHOR BAHRU — Ekspo Hartanah Johor 2023 disambut baik oleh rakyat negeri ini yang kini sedang berlangsung di Padang Akasia, Angsana Mall Johor di sini, sejak semalam.

 

Pengunjung, Mohamad Jailani, 26, yang pertama kali berkunjung ke ekspo hartanah berkata, beliau berpendapat program seumpama ini sangat baik untuk anak muda Johor yang mahu memiliki rumah buat kali pertama.

 

“Ekspo ini sangat bagus kerana kita akan mendapat kemudahan konsultasi secara langsung dan mendapat maklumat lengkap berbanding menggunakan khidmat agen hartanah di luar.

 

“Saya harap ekspo ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi peluang dan manfaat kepada rakyat Malaysia khususnya warga Johor untuk memiliki rumah pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor di sini, hari ini.

 

Bagi Muhammad Yazid, 26, pula memberitahu kos Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) ini sangat berpatutan dengan ekonomi semasa khususnya kepada warga Johor tanpa mengira lapisan umur.

 

“Urusan permohonan secara atas talian sangat mudah terutama untuk orang yang bekerja seperti saya dan proses pengundian juga boleh ditonton secara ‘online’ di Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata ekspo ini telah menerima kehadiran 11,000 pengunjung pada hari pertama berlangsung sejak semalam dan ia dijangka akan terus meningkat sehingga 50,000 pengunjung menjelang hari terakhir iaitu pada Ahad ini.

 

“Pada pagi ini, kita akan melancarkan pembukaan pendaftaran untuk 4 lokasi RMMJ. Pertama di Johor Bahru, kedua di Kota Tinggi, ketiga di Kluang dan Keempat di Kulai.

 

“Tahun lepas, KPI yang diberikan untuk saya ialah 2,400 unit RMMJ dan sebanyak 4,000 unit RMMJ telah berjaya dibina. Untuk tahun ini, KPI yang sama diberikan dan setakat ini sebanyak 5,000 unit RMMJ telah dibina menjadikan jumlah keseluruhan 9,000 unit RMMJ disediakan oleh Kerajaan Negeri kepada rakyat Johor,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek RMMJ di tapak ekspo yang sama.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor