EMPAT PELAJAR ORANG ASLI JADI ANAK ANGKAT MENTERI BESAR JOHOR


YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan perkara tersebut ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Kebudayaan Orang Asli Johor 2024 di Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi, semalam. | Foto Nor Nazreen.

 

Empat pelajar Orang Asli dari Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi menerima berita gembira apabila dipilih menjadi anak angkat di bawah Pejabat Menteri Besar Johor, susulan kejayaan memperolehi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023/2024, baru-baru ini.

 

Kesemua mereka adalah Muhamammad Adam Naufal Mohd Nasir yang meraih 11A, Nur Aqilah Muhammad (8A), Nur Hazirah Irdina Hafizun (7A) dan Munzer Ahamad Fuad A. Rahim (6A) yang turut menerima sumbangan wang tunai disampaikan sendiri oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.

 

Inisiatif murni berkenaan akan membolehkan mereka menerima sokongan dari segi bantuan pendidikan untuk meneruskan pengajian ke menara gading termasuk beberapa inisiatif tambahan yang akan dibincangkan bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri kelak.

 

Malah, usaha tersebut juga secara tidak langsung mencerminkan keutamaan diberikan Kerajaan Johor terhadap aspek pendidikan tanpa mengabaikan masyarakat orang asli di 60 kampung etnik itu yang terdapat di negeri ini.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor mengumumkan perkara tersebut ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Kebudayaan Orang Asli Johor 2024 di Kampung Orang Asli Sungai Layau, Kota Tinggi, semalam.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor