98 PERATUS KEBAKARAN TANAH GAMBUT DI PENGERANG BERJAYA DIPADAM

Operasi pemadaman kebakaran tanah gambut di Jalan Pintasan Punggai-Sebana Cove, Pengerang memasuki fasa akhir apabila 98 peratus daripada 51.4 hektar kawasan terbabit berjaya dipadamkan setakat jam 12.00 tengah hari tadi. Sektor B telah dipadamkan sepenuhnya, manakala Sektor A mencapai 97.7 peratus pemadaman. | Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor
#IskandarPuteri – Operasi pemadaman kebakaran yang berlaku tanah gambut di Jalan Pintasan Punggai-Sebana Cove, Pengerang kini memasuki fasa akhir apabila 50.4 atau 98 peratus daripada keseluruhan 51.4 hektar kawasan terbabit berjaya dipadamkan, setakat jam 12 tengah hari tadi.
Memasuki hari kelima operasi pemadaman, kawasan melibatkan sektor B seluas 15.8 hektar telah dipadamkan sepenuhnya, manakala usaha pemadaman di Sektor A yang berkeluasan 35.6 hektar pula kini mencapai tahap 97.7 peratus.
Selain itu, operasi kawalan kebakaran masih diteruskan selama 24 jam oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor bagi memastikan kawasan yang telah dipadamkan tidak kembali terbakar, selain kerja pemantauan juga kini turut menggunakan khidmat unit dron.
Operasi JBPM yang diketuai PPgB Umar Hafiz Roslee Amir selaku Komander Operasi dan dibantu TPgB II Baharuddin Idris sebagai Komander Operasi Kanan turut menerima sokongan beberapa agensi berkaitan termasuk Ranhill SAJ dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Pasukan bomba turut berdepan sedikit kesukaran mengawal kebakaran berikutan keadaan cuaca panas, kering dan angin kencang yang boleh mempercepatkan penyebaran bara dalam lapisan tanah gambut, selain keadaan laluan yang sempit, struktur tanah lembut dan sumber air terbuka yang terhad.
Bagi Sektor A, kerja pemadaman dilaksanakan secara ‘direct attack’ di tepi jalan raya dengan sokongan aliran air, pam angkut, water dam serta bekalan air daripada ‘water tanker’ dan lori tangki SAJ.
Dua unit jentera pemadam, dua water tanker, dua kenderaan utiliti dan dua jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) JBPM turut digerakkan, selain dua unit jentera berat bagi membantu kerja-kerja membuat parit dan pembinaan ‘fire break’.
Pengguna Jalan Bypass Punggai-Sebana Cove dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan terbabit berikutan jarak penglihatan yang terhad akibat kepekatan asap di sekitar lokasi berkenaan.
#JohorSafeZone
#ElakPembakaranTerbuka
#KebakaranTanahGambut
#FenomenaElNino
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



