FIESTA SANDIWARA NEGERI JOHOR TAMPIL DUA PEMENTASAN TEATER

YBhg. Encik Fairuzahri Jalaluddin, Pengarah YWJ bersama barisan pelakon pada Sidang Media Fiesta Sandiwara Negeri Johor Saga Saujana: Teater 8 Kisah 1 Malam Dan Teater Muzikal Gerincing Sari Embun di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar. | Foto Yayasan Warisan Johor

 

#JohorBahru – Kerajaan Johor menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) bakal menganjurkan Fiesta Sandiwara Negeri Johor: Saga Saujana, sebuah inisiatif julung kali diadakan menghimpunkan pementasan teater berkualiti tinggi sarat dengan nilai warisan, kreativiti dan kemanusiaan.

 

Mengetengahkan dua pementasan berbeza iaitu Teater 8 Kisah 1 Malam dan Teater Muzikal Gerincing Sari Embun, fiesta dianjurkan membuka ruang apresiasi seni persembahan dengan gabungan tradisi serta teknologi kontemporari dalam persembahan yang segar dan emosional.

 

Teater 8 Kisah 1 Malam akan dipentaskan pada 8 Ogos ini berkonsepkan antologi lapan karya pendek dengan gaya persembahan yang berbeza selain turut menonjolkan ekspresi pelbagai suara generasi baharu dalam seni teater moden.

 

Manakala, Teater Muzikal Gerincing Sari Embun pula berlangsung pada 16 dan 17 Ogos ini, dengan durasi dua jam karya asli arahan Amar Reza Zainalabidin yang menampilkan Asmidar, penyanyi dan pelakon sebagai teraju utama bersama barisan pemuzik dan artis budaya YWJ.

 

Fiesta yang diadakan di Dewan Utama, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar itu diyakini mampu menjadi wadah penting dalam mengangkat seni persembahan Johor ke tahap lebih tinggi dan menyemarakkan semula minat generasi baharu terhadap teater tempatan.

 

Terdahulu, YBhg. Encik Fairuzahri Jalaluddin, Pengarah YWJ bersama barisan pelakon hadir pada Sidang Media Fiesta Sandiwara Negeri Johor Saga Saujana: Teater 8 Kisah 1 Malam Dan Teater Muzikal Gerincing Sari Embun di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar.

 

#TeaterTempatan
#YayasanWarisanJohor
#FiestaSandiwara
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor