TEKNOLOGI BERETIKA SELARI PRINSIP MORAL MELALUI BIMBINGAN INSTITUSI AGAMA ISLAM

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan untuk berangkat ke forum tersebut diiringi oleh YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Pro-Canselor UTM di Dewan Utama Bangunan Temenggong Ibrahim Bandar Medini Iskandar, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Penggunaan teknologi tanpa panduan secara jelas berisiko menjauhkan masyarakat dengan nilai kemanusiaan, namun dapat dibangunkan secara beretika selari prinsip moral dan kesejahteraan sejagat melalui bimbingan institusi agama Islam.
Panduan berasaskan Maqasid Syariah juga disifatkan sangat penting bagi memastikan pembangunan teknologi mengekalkan matlamat murni demi kesejahteraan ummah dan bukannya hanya sekadar berorientasikan keuntungan semata-mata.
Pengisian utama berkenaan antara perkongsian oleh barisan panel dalam Forum Intelektual Diraja Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2025 bertemakan “Teknologi Berjiwa, Tamadun Bermaruah: Inspirasi Kearifan Islam Dalam Era Inovasi Digital”.
Perbincangan forum telah dikupas oleh SS YB Dato’ Haji Yahya Ahmad, Mufti Negeri Johor serta YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku ahli panel.
Turut tampil sebagai ahli panel pada forum kali keempat itu adalah YBrs. Encik Muhammad Haziq Abd. Rahim, Pengasas Agensi Job & Alumni Remaja (AJAR) dengan YBhg. Dr. Muhamad Talhah Ajmain dari Akademi Tamadun Islam UTM sebagai moderator.
Terdahulu, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan untuk berangkat ke forum tersebut diiringi oleh YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor selaku Pro-Canselor UTM di Dewan Utama Bangunan Temenggong Ibrahim Bandar Medini Iskandar, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, hari ini.
#JohorSafeZone
#ForumIntelektualDiraja
#UTM
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor