DUA DRAF RANCANGAN TEMPATAN DIBUKA UNTUK PENYERTAAN AWAM

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Johor Bahru 2035 serta Draf Rancangan Tempatan Iskandar Puteri 2035. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Draf Rancangan Tempatan (RT) Johor Bahru 2035 dan Draf Rancangan Tempatan Iskandar Puteri 2035 dibuka untuk publisiti serta penyertaan awam bermula hari ini sehingga 23 November depan sebelum kedua-duanya diwartakan.
Cadangan dan pandangan daripada orang ramai itu untuk menghasilkan pelan yang akan memperkukuh perancangan pembangunan sejajar komitmen Kerajaan Negeri membentuk bandar raya inklusif, sejahtera serta lestari.
Program publisiti dan penyertaan awam tersebut turut menjadi platform penting kepada warga bandar raya Johor Bahru serta Iskandar Puteri menyumbang idea dan pandangan dalam menentukan hala tuju pembangunan dua bandar utama tersebut.
Kedua-dua draf itu menekankan elemen baharu seperti bandar berdaya tahan, mobiliti rendah karbon, penghijauan bandar, reka bentuk sensitif air dan tadbir urus digital selaras matlamat menjadikan Johor sebagai negeri hijau, cekap tenaga serta bersedia untuk masa hadapan.
Turut diberikan tumpuan adalah aspek kesejahteraan penduduk melalui penyediaan lebih banyak peluang perumahan mampu milik, kemudahan awam, pembangunan mampan dan pengurusan bandar berteraskan keseimbangan sosial, ekonomi serta alam sekitar.
Pendekatan bersepadu berkenaan dijangka memperkukuh imej Johor Bahru dan Iskandar Puteri sebagai bandar raya moden, pesat membangun serta menjamin kualiti hidup rakyat melalui persekitaran yang selamat, harmoni dan mesra penduduk.
Terdahulu, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyempurnakan perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Johor Bahru 2035 serta Draf Rancangan Tempatan Iskandar Puteri 2035, hari ini.
Turut hadir, YBhg. Datuk TPr. Dr. Alias Rameli, Ketua Pengarah PLANMalaysia; YB Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru; YBhg. Tuan Haji Hasrin Kamal Hashim, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan YBhg. Encik Mohd Masni Wakiman, Pegawai Daerah Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#DrafRancanganTempatan
#RTJB2035
#RTIP2035
#PembangunanInklusif
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor