JOHOR NEGERI KELIMA TERTINGGI PENDUDUK TERLIBAT SEKTOR PERTANIAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Johor bersempena Karnival Agro Johor 2025. | Foto MDJ Nurina Aisyah

#IskandarPuteri – Johor muncul sebagai negeri kelima tertinggi dari segi bilangan penduduk terlibat dalam sektor pertanian selepas Sabah, Sarawak, Kedah dan Perak dengan merekodkan 106,038 pegangan pertanian.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 102,460 merupakan pegangan pertanian individu, manakala 3,578 pula adalah pertubuhan di samping Batu Pahat memiliki pegangan pertanian tertinggi iaitu seramai 18,719 orang diikuti Segamat (17,982) dan Muar (16,244).

 

Menurut hasil Banci Pertanian 2024, lebih 70 peratus pegangan pertanian di Johor terdiri daripada inividu berumur 46 tahun ke atas dengan lebih 50 peratus pegangan pertanian individu memiliki sekurang-kurangnya kelulusan pendidikan menengah dari persepektif pendidikan.

 

Dalam konteks guna tenaga, Johor merekodkan seramai 195,634 orang terlibat secara langsung dalam sektor pertanian terdiri daripada 141,392 orang untuk pegangan pertanian individu dan 54,242 orang bagi pertubuhan.

 

Meskipun berada di kedudukan kelima dalam bilangan pegangan pertanian, Johor kekal sebagai penyumbang utama prestasi sektor pertanian negara selepas merekodkan nilai jualan tertinggi iaitu RM27.3 bilion atau 16.9 peratus daripada nilai keseluruhan di negara ini.

 

Nilai jualan berkenaan dijana menerusi prestasi cemerlang kesemua komponen sektor pertanian di negeri ini, iaitu sub-sektor tanaman sebanyak 76.7 peratus diikuti ternakan (17.2), akuakultur (3.7) dan perikanan (2.3).

 

Dari segi nilai jualan mengikut daerah, Kluang unggul dengan nilai jualan berjumlah RM5 bilion disusuli Kota Tinggi (RM4.3 bilion), Batu Pahat (RM3.8 bilion), Segamat (RM3.68 bilion) dan Muar (RM2.8 bilion).

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Johor bersempena Karnival Agro Johor 2025 di Padang Kawad, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, semalam.

 

#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#WTN
#JohorFoodSecurity
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor