JOHOR CAPAI STATUS NEGERI PINTAR LEBIH AWAL

Kerajaan Negeri Johor mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mencapai status ‘Negeri Pintar’ lima tahun lebih awal daripada sasaran asal dalam Pelan Induk Bandar Pintar Johor 2030, selepas semua 16 PBT negeri ini mencapai sekurang-kurangnya Tahap 1 ‘Smart City Early Adopter’. | Foto FB Mohd Jafni Md Shukor
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri terus melakar sejarah membanggakan apabila mencapai pengiktirafan ‘Negeri Pintar’ lima tahun lebih awal daripada sasaran asal seperti digariskan dalam Pelan Induk Bandar Pintar Johor 2030 selepas 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini, mencapai sekurang-kurangnya Tahap 1 iaitu ‘Smart City Early Adopter’ bagi penarafan ‘Smart City’.
Lebih membanggakan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut mencatat sejarah apabila muncul sebagai PBT pertama di Malaysia mencapai Tahap 3 iaitu ‘Leading Smart City’ sekali gus mengangkat Johor sebagai peneraju utama agenda bandar pintar negara yang menjadi sebuah pengiktirafan kepada kejayaan Kerajaan Negeri pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor memacu transformasi digital dan tadbir urus pintar secara menyeluruh.
Dalam satu kenyataan, YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor menyifatkan kejayaan diraih adalah hasil pelaksanaan strategik oleh PlanMalaysia@Johor sebagai agensi penyelaras utama bersama portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor dengan sokongan padu daripada semua PBT, agensi teknikal, universiti serta sektor swasta.
Antara inisiatif utama yang telah digerakkan seperti penubuhan pusat kawalan pintar, pemasangan lebih 2,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) pintar di kawasan ‘Greater Johor Bahru’, penggunaan sensor pengesanan pencemaran udara di kawasan industri dan perumahan, pengurusan trafik pintar, sistem aduan bersepadu, pendigitalan lesen perniagaan, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa pintar serta keselamatan bandar berasaskan data dan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, Johor terus mempergiatkan pelaksanaan agenda ‘Johor Green Deal’ dalam usaha untuk memastikan pembangunan negeri berlangsung secara lestari dan berdaya tahan seperti memperluas pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh PBT, memacu inisiatif bandar rendah karbon, memperkukuh pengurusan hijau bangunan kerajaan serta memperluas program kesedaran komuniti terhadap gaya hidup rendah karbon.
Terdahulu, kesemua pengiktirafan yang disampaikan oleh YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri II diterima Kerajaan Negeri pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia serta Kongres Perancangan Kebangsaan dan MyCity Expo Tahun 2025 di Putrajaya, hari ini.
#JohorSafeZone
#JohorSmartCity
#BandarPintar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



