YAYASAN JCORP DAN YSIJ HULUR BANTUAN KEPADA KOMUNITI PULAU TERJEJAS MTL

YBhg Tuan Jamil Hasni Abdullah, Pegawai Daerah Mersing menyempurnakan penyerahan bantuan bertempat di Pejabat Daerah Mersing, Johor. | Foto Yayasan JCorp
Oleh: NUREEN NATASYA NOOR HASHAIRUL
#IskandarPuteri – Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) dengan kerjasama Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) mengambil inisiatif menyalurkan bantuan kepada komuniti kepulauan yang sering terjejas akibat ketibaan musim Monsun Timur Laut (MTL) menerusi program ‘Monsoon Relief: Waves of Support’.
Program bantuan tersebut akan memberi tumpuan kepada penduduk di lima pulau utama sekitar Johor iaitu Pulau Sibu, Pulau Tinggi, Pulau Besar, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur dengan melibatkan seramai 235 penerima manfaat yang terdiri daripada keluarga dan juga golongan pelajar.
Menerusi program bantuan itu, Yayasan JCorp akan menyalurkan sumbangan berupa kit kebersihan, bantuan tunai serta baucar kelengkapan sekolah, manakala YSIJ pula akan memberi sumbangan dalam bentuk barangan keperluan asas kepada keluarga terlibat. Inisiatif bersama ini dilaksanakan bagi meringankan beban komuniti setempat serta memastikan kesemua penduduk di kepulauan berkenaan dapat membuat persediaan sewajarnya dalam menghadapi ketibaan musim tengkujuh.
Selain itu, Yayasan JCorp turut menceriakan 16 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Sibu apabila turut membawa mereka untuk membeli kelengkapan persekolahan di Pasaraya Hari Hari, Mersing, sebagai suntikan semangat menjelang sesi persekolahan baharu akan datang.
Terdahulu, YBhg Tuan Jamil Hasni Abdullah, Pegawai Daerah Mersing menyempurnakan penyerahan bantuan bertempat di Pejabat Daerah Mersing, Johor. Turut hadir ialah, YBrs Encik Mohd Anizam Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ dan YBrs Puan Zaidatul Zurita Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp.
#JohorSafeZone
#YayasanJCorp
#YayasanSultanIbrahimJohor
#MonsoonReliefWavesOfSupport
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor







