TUAN HAJI ISMAIL ROSLI AL-HAFIZ DINOBATKAN TOKOH HUFFAZ NEGERI JOHOR 2025

YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Ijtimak Huffaz Negeri Johor 2025 sempena Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Pusat Islam Iskandar Johor. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#JohorBahru – Bekas guru Pendidikan Islam dan Syariah Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, YBhg Tuan Haji Ismail Rosli al-Hafiz dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Huffaz Negeri Johor 2025 pada Majlis Ijtimak Huffaz Negeri Johor 2025 yang berlangsung di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.

 

Tuan Haji Ismail yang berasal dari FELDA Tenang dipilih menerima anugerah itu berikutan ketokohan dan pengabdian dirinya yang mendalam di bidang tahfiz al-Quran, selain pernah mewakili Negeri Johor ke Peringkat Kebangsaan dalam Pertandingan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun 1987 hingga 1989, sekali gus melayakkannya mewakili Malaysia pada pada pertandingan sama peringkat antarabangsa di Tehran, Iran pada 1989.

 

Selain itu, beliau yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Qiraat dari Universiti Al-Azhar, Mesir serta menjadi antara anak jati FELDA Tenang pertama yang menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran ini turut dikenali dengan semangat dedikasinya dalam mencurahkan khidmat bakti selama hampir tiga dekad dalam profesion pendidikan.

 

Lebih membanggakan, semangat cintakan al-Quran yang ada pada pesara guru itu turut diwarisi oleh kesemua tujuh anaknya dengan tiga daripadanya kini sudah bergelar hafiz. Ia adalah hasil daripada teladan dan istiqamahnya dalam bidang pengajian al-Quran sehingga menjadi inspirasi kepada anak-anaknya untuk turut sama mengikut jejak langkah yang dimulakan oleh beliau.

 

Walaupun kini sudah bersara wajib daripada pekerjaan tetapnya, namun ia tidak menjadi batu penghalang kepada Tuan Haji Ismail untuk terus aktif dalam bidang kemasyarakatan. Beliau kini berkhidmat sebagai Imam 1 di Masjid Jamek Makam Lubok Batu, Segamat, selain turut giat mengajar ilmu qiraat secara dalam talian serta aktif sebagai khatib jemputan di masjid-masjid sekitar daerah berkenaan.

 

Anugerah yang diterima oleh Tuan Haji Ismail ini juga menjadi antara simbol pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap jasa dan sumbangan golongan huffaz yang berperanan penting dalam membina masyarakat berakhlak al-Quran dan menyemarakkan nilai Islam di bumi Johor.

 

Terdahulu, YB Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Ijtimak Huffaz Negeri Johor 2025 sempena Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) di Pusat Islam Iskandar Johor, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#HuffazJohor
#MAINJ
#JAINJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor