JOHOR BENTANG BELANJAWAN BERJUMLAH RM2.5 BILION, CATAT LEBIHAN RM4.45 JUTA

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2026 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2026 dengan hasil negeri diunjurkan mencecah RM2.55 bilion, sekali gus menjadi jumlah tertinggi dalam sejarah negeri dan secara tidak langsung menandakan keupayaan fiskal yang kukuh serta pengurusan kewangan yang berhemah.
Belanjawan kali ini yang bertemakan ‘Bangsa Johor Sejahtera’ dibentangkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ini juga merupakan belanjawan ‘surplus’ bernilai RM4.45 juta yang mencerminkan hasil pengurusan fiskal berdisiplin serta keberkesanan strategi ekonomi negeri.
Johor juga berjaya menarik pelaburan berjumlah RM218 bilion, mewujudkan lebih 64,000 peluang pekerjaan dengan kadar pengangguran kekal rendah pada kadar 2.3 peratus sepanjang tempoh tiga tahun enam bulan. Ia telah menjadi bukti setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri berjaya membuahkan hasil nyata kepada rakyat.
Kerajaan Negeri juga komited memastikan setiap sen hasil negeri akan dibelanjakan secara berfokus, telus dan mampu memberi manfaat langsung kepada Bangsa Johor dengan keutamaan diberikan kepada sektor pendidikan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET), kesihatan, perumahan, infrastruktur luar bandar serta kesejahteraan sosial.
Belanjawan Johor 2026 yang terus berpegang kepada enam teras di bawah Agenda Maju Johor, merangkumi 260 inisiatif yang bukan sahaja berupaya memperkukuh asas ekonomi negeri tetapi juga menzahirkan nilai tanggungjawab moral dan sosial, sekali gus menjadikannya dokumen belanjawan inklusif demi kesejahteraan rakyat.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



