HASIL NEGERI DIPULANG KEPADA RAKYAT MENERUSI BANTUAN KASIH JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2026 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini. | Foto MDJ Wira Anggara

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri menzahirkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat menerusi pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ) di bawah Belanjawan Johor 2026 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah hampir RM170 juta yang bakal memanfaatkan lebih 330,000 penerima yang terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat di seluruh negeri ini.

 

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor memaklumkan, pelaksanaan BKJ menjadi manifestasi kasih sayang Kerajaan Negeri terhadap rakyat, seiring dengan prinsip ‘hasil negeri dipulangkan kepada rakyat’ di bawah Agenda Maju Johor, sekali gus menzahirkan iltizam setiap hasil negeri disalurkan kembali kepada mereka yang memerlukan seperti golongan anak yatim, pesara, petani hingga pelajar.

 

Sebanyak 23 inisiatif diperkenalkan di bawah BKJ 2026 yang mampu memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk nelayan, pesakit kronik, warga emas, pengamal media dan penggerak komuniti yang bakal menerima bantuan diberikan dalam pelbagai bentuk termasuk tunai, simpanan pendidikan dan insentif khas kepada kumpulan sasar seperti miskin tegar, pemandu teksi, p-hailing, pesara tentera dan polis.

 

Kerajaan Negeri juga akan menyalurkan BKJ Anak Yatim Negeri Johor dalam bentuk tunai dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM2,000 seorang yang akan memanfaatkan kira-kira 12,307 anak yatim dengan jumlah peruntukan RM24.6 juta, manakala 9,744 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin pula menerima bantuan one-off bernilai RM2,000 seorang.

 

BKJ turut akan memanfaatkan KIR Orang Asli Johor, pegawai masjid dan surau, ketua kampung, guru al-Quran, sukarelawan KEMAS, pengamal media, penggiat industri pelancongan, pelatih pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), serta pelajar pra-universiti dan asasi. Selain itu, bantuan juga turut disalurkan kepada sukarelawan Southern Volunteers (SV) sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka kepada masyarakat.

 

Pelaksanaan BKJ ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan sosial rakyat Johor agar tiada yang tercicir daripada arus kemajuan negeri, sekali gus menjadi lambang kasih dan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan rakyat serta mencerminkan tanggungjawab sosial untuk memastikan kemakmuran negeri dinikmati secara adil dan saksama oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini.

 

Berteraskan semangat Bangsa Johor, semua pihak dilihat sebagai rakan kongsi penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri menuju tahun 2030, manakala Belanjawan Johor 2026 sekali lagi menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan dalam setiap dasar dan pelaksanaannya.

 

#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor