JOHOR MAHU KERAJAAN PERSEKUTUAN PERCEPAT PROJEK JANGKA PANJANG

YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor memberikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15. | Foto MDJ Wira Anggara
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor meminta Kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan pelaksanaan projek pengangkutan jangka panjang di negeri ini khususnya di bandar raya Johor bagi memastikan isu kesesakan bandar dapat diatasi dengan baik, terutama menjelang operasi penuh Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada tahun 2027.
YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, memberitahu, beberapa siri keputusan penting telah dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Kesesakan termasuk komitmen bagi pengoperasian perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) yang menghubungkan Johor Bahru Sentral ke Kuala Lumpur Sentral bermula Januari 2026.
Kerajaan Negeri juga mahukan semua projek pengangkutan jangka panjang seperti Aliran Transit Automasi-Bertingkat (E-ART) yang telah melalui proses tender dan penilaian Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) mendapat kelulusan Kabinet memandangkan E-ART merupakan antara penyelesaian berimpak tinggi dan kosnya juga lebih efektif berbanding sistem tren Transit Aliran Ringan (LRT).
Bagi meningkatkan kapasiti pergerakan domestik, perkhidmatan Komuter Ekspres Selatan kendalian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan dipendekkan daripada JB Sentral–Gemas kepada laluan JB Sentral–Kulai bagi membolehkan kekerapan perjalanan dapat ditambah dengan lebih efisien.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut mencadangkan penggunaan jajaran Kempas–Pasir Gudang yang kini digunakan bagi tujuan pengangkutan kargo turut digunakan untuk menampung pergerakan penumpang yang melibatkan tiga lokasi yang didapat sesuai untuk dijadikan stesen sementara, sebelum ia dinaik taraf secara berperingkat iaitu di Taman Daya, Seri Alam dan Pasir Putih.
Sementara menunggu pelaksanaan projek jangka panjang ini, Kerajaan Negeri telah mengaktifkan langkah ‘quick win’ termasuk perluasan rangkaian perkhidmatan bas, peningkatan komuter, kerjasama syarikat e-hailing serta penyesuaian semula laluan strategik secara berfasa bagi mengurangkan kadar kesesakan harian.
Kerajaan Negeri juga komited bagi memastikan segala persediaan infrastruktur dan mobiliti awam berada pada tahap optimum menjelang operasi penuh RTS pada tahun 2027, sekali gus menjamin kelancaran pergerakan rakyat dan kestabilan jaringan bandar.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas memberikan ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2026) bagi Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2026
#BangsaJohorSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


